Khamis, 2 Mei 2024 | 1:57pm
Mohd Na'im Mokhtar. - foto BERNAMA
Mohd Na'im Mokhtar. - foto BERNAMA

Semua pihak wajib jaga kesucian Islam

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan semua pihak perlu sentiasa memelihara kesucian serta ketinggian agama Islam.

Menterinya, Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata mana-mana pihak yang didapati melakukan apa-apa tindakan menghina Islam perlulah dibawa ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada semua pihak.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agensi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mewujudkan talian khas untuk menerima aduan berkaitan isu penghinaan terhadap agama Islam termasuk di laman media sosial.

"Orang ramai boleh membuat aduan serta laporan berkaitan apa-apa isu penghinaan kepada agama Islam di talian WhatsApp dan emel khusus; 017-3234533 (WhatsApp) dan [email protected]," katanya.

Beliau berkata JAKIM telah diminta untuk bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) serta lain-lain pihak berkaitan untuk menangani isu penghinaan kepada agama Islam.

Mohd Na'im menyeru semua pihak untuk sentiasa bertanggungjawab bagi memelihara perpaduan dan keharmonian dalam negara.

"Apa-apa bentuk provokasi dan tindakan ekstrem perlu dihentikan. Perpaduan adalah nikmat yang perlu dipertahankan demi mencapai cita-cita membangunkan Malaysia Madani," katanya.

Berita Harian X