Rabu, 1 Mei 2024 | 10:01pm

Kenaikan gaji usaha imbangi gred rendah, tinggi

PUTRAJAYA: Kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember ini antara usaha untuk mengimbangi pendapatan antara pekerja gred rendah dan tinggi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, berbeza dengan pendekatan pentadbiran sebelum ini, pengumuman dibuatnya hari ini bertujuan menaikkan pendapatan kelompok bergaji rendah dan mengurangkan kenaikan di kelompok yang bergaji tinggi.

"Bagi kalangan yang (bergaji) rendah mungkin cecah 25 hingga 30 peratus. Saya utamakan kelompok (bergaji) rendah dan kurangkan di kelompok yang tinggi," katanya pada program 'Soal Jawab Perdana Menteri' bersama empat stesen televisyen tempatan, malam ini.

Temu bual khas hampir sejam bersama Perdana Menteri Malaysia Ke-10 itu dikendalikan penyampai RTM, Sayed Munawar Sayed Mustar, Pasha Abdul Rahim (BERNAMA TV), Muhammad Zulfitri Yusof (Astro AWANI) dan Azaria Tagaya (TV3).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program 'Soal Jawab Perdana Menteri' bersama empat stesen televisyen tempatan, malam ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program 'Soal Jawab Perdana Menteri' bersama empat stesen televisyen tempatan, malam ini.

Perdana Menteri berkata, kenaikan melebihi 13 peratus itu membabitkan gaji pokok dan bukannya elaun serta perincian mengenainya akan dibincang pada mesyuarat Kabinet sebelum diputuskan.

"Walaupun pernah diperkenal dulu 35 peratus, tetapi itu daripada gred 1 hingga gred 16, tetapi secara keseluruhannya ini masih antara yang paling tinggi dengan kos yang sangat besar mencecah lebih RM10 bilion," katanya yang juga Menteri Kewangan.

Menyifatkan pengumuman dibuat sempena Hari Pekerja itu sebagai menghargai sumbangan dan jasa penjawat awam kepada negara, Perdana Menteri pada masa sama mahu golongan berkenaan terus meningkatkan produktiviti selari dengan kenaikan gaji dinikmati.

"Diharap ini mendorong penjawat awam bekerja lebih gigih, hentikan lembap, malas dan ketirisan.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), perlu lebih tegas mengawal kalau ada kecelaruan atau ketirisan di jabatan kerajaan.

"Semua kementerian kena pantau supaya mulai bulan ini kita lihat peningkatan dalam semua aspek, jangan rakyat tunggu berjam-jam, tunggu kelulusan lesen lama, kena cekap ada perubahan, saya harap sesuatu yang lebih baik," katanya.

Terdahulu ketika merasmikan sambutan Hari Pekerja 2024 semalam, Perdana Menteri berkata, kenaikan gaji itu antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah.

Anwar berkata, di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan, berbanding pada masa ini yang menyaksikan jumlah pendapatan minimum dengan gaji dan elaun tetap penjawat awam RM1,795 sebulan. -BERNAMA

Berita Harian X