Rabu, 1 Mei 2024 | 4:26pm
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bersama calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao pada sidang media selepas beramah mesra bersama penduduk tempatan di sekitar pekan Kuala Kubu Bharu pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu (KKB). - Foto SAIFULLIZAN TAMADI
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bersama calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao pada sidang media selepas beramah mesra bersama penduduk tempatan di sekitar pekan Kuala Kubu Bharu pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu (KKB). - Foto SAIFULLIZAN TAMADI

PRK KKB: P Ramasamy berpolitik kerana dendam, tidak punyai hala tuju - Loke

HULU SELANGOR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyifatkan, P Ramasamy sebagai seorang yang tidak mempunyai hala tuju dan tidak tentu arah.

Malah, beliau mendakwa, Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) itu sebagai individu yang berpolitik berasaskan dendam kerana tidak dicalonkan semula dalam pilihan raya sebelum ini.

Katanya, Ramasamy bebas untuk berkata apa sahaja, namun, beliau yakin rakyat Malaysia termasuk pengundi di DUN KKB bijak untuk menilai dan mengundi adalah hak setiap warganegara.

"Kalau ikut hujah Ramasamy, dia ni tak tentu arah. Dia ini orang yang tiada hala tuju. Dia kata jangan undi Pakatan Harapan (PH) tapi, nak undi siapa lagi tanya dia? Dia tak jawab nak undi siapa.

"Dia kata jangan undi PH, jadi apa alternatif dia. He doesn't have alternatif (dia tidak punya alternatif), maknanya orang ini dia berpolitik atas dendam sahaja, dia dendam pada DAP, dendam pada PH sebab tidak dicalonkan semula," katanya kepada pemberita selepas mengadakan walkabout bersama calon PH yang mewakili DAP, Pang Sock Tao di sini, hari ini.

Loke diminta mengulas kenyataan P Ramasamy yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum ini apabila menggesa supaya masyarakat India memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, pada 11 Mei ini.

Malah, Ramasamy turut pernah menggesa Perikatan Nasional (PN) menamakan calon dari kaum India untuk PRK kali ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, P Ramasamy tidak perlu untuk membangkitkan soal boikot berkenaan dan sebaliknya Ramasamy perlu menyatakan secara jelas siapakah calon alternatif yang wajar dipilih oleh pengundi.

"Jadi, orang macam ini tak perlu jawab banyaklah, kita nak kerja, kita nak berkempen untuk memberikan penerangan kepada semua masyarakat apa yang kita nak lakukan sebagai kerajaan negeri.

"Sebab sekarang Kerajaan Perpaduan (ada calon) Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN yang mewakili DUN. Jadi, apabila dipilih dia adalah wakil rakyat kerajaan negeri.

"Apa wakil rakyat kerajaan negeri nak buat di kawasan ini, macam mana nak bantu rakyat dan ini yang kita nak bahaskan dan bincangkan di PRK.

"Jadi, orang yang tiada hala tuju, kalau kita ikut dia, kita pun tiada hala tujulah dan kita pun sesat," katanya.

Berita Harian X