Rabu, 1 Mei 2024 | 3:20pm
Sekitar sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Turut hadir,Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali. - Foto ASYRAF HAMZAH
Sekitar sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Turut hadir,Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali. - Foto ASYRAF HAMZAH

Kenaikan gaji penjawat awam bukti keprihatinan PM, kerajaan - PPTD

KUALA LUMPUR: Pengumuman kenaikan gaji lebih 13 peratus penjawat awam mulai Disember ini, adalah bukti keprihatinan kerajaan meringankan beban penjawat awam dan pesara Kerajaan Persekutuan.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD), Datuk Seri Isham Ishak, berkata ia juga bukti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sentiasa peka dan prihatin terhadap keperluan penjawat awam negara.

"PPTD amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau dalam membantu meringankan beban penjawat awam dan pesara Kerajaan Persekutuan melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan berkuatkuasa pada 1 Disember nanti.

"Usaha untuk melaksanakan SSPA sudah tentu disambut baik oleh semua penjawat awam dan membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan kesejahteraan perkhidmatan awam.

"Warga PPTD akan terus memberi setinggi-tinggi komitmen dan meningkatkan kualiti kerja serta produktiviti secara berterusan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Hari ini, Perdana Menteri dilaporkan mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang juga kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember ini.

Perdana Menteri dilaporkan memaklumkan sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan Madani akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu.

Selain itu, Anwar turut mengumumkan pendapatan minimum penjawat awam merangkumi gaji dan elaun tetap perlu melebihi RM2,000 sebulan, bermula tahun ini.

Perdana Menteri juga ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 bertema 'Pekerja Kesuma Bangsa' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pagi tadi turut mengakui jumlah pendapatan menyeluruh paling minimum yang diterima sebelum ini iaitu RM1,765 adalah tidak munasabah.

Berita Harian X