Rabu, 1 Mei 2024 | 12:16pm

KADA sahkan pegawai kanan ditahan SPRM

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengesahkan seorang pegawai kanan agensi itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malam tadi.

Pengerusinya, Muhammad Husim bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana baru mengetahui perkara berkenaan.

"Saya sendiri baru tahu selepas dimaklumkan oleh kakitangan berhubung tangkapan itu. Minta maaf, saya tidak boleh komen lanjut kerana tidak tahu secara terperinci.

"Mungkin lain kali saya komen," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, media melaporkan seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan ditahan SPRM kerana disyaki membuat tuntutan palsu sejak tahun lalu.

Sumber dipetik berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan pada jam 9.30 malam tadi ketika dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM.

Katanya, lelaki itu disyaki membuat beberapa tuntutan palsu pada tahun lalu dan tahun ini berkaitan program agensi terbabit.

Berita Harian X