Rabu, 1 Mei 2024 | 7:53am
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama penjawat awam yang hadir pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, pada 9 Februari lalu. - foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama penjawat awam yang hadir pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, pada 9 Februari lalu. - foto BERNAMA

PM dijangka umum sistem saraan penjawat awam baharu pagi ini

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dijangka mengumumkan beberapa insentif dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu sempena himpunan Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Khamis lalu, Perdana Menteri berkata SSPA yang akan diumumkan nanti adalah antara yang terbaik pernah diperkenalkan kerajaan.

Berucap pada Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PPTD), Perdana Menteri berkata, biarpun terbaik ia akan membabitkan implikasi kewangan yang tertinggi pernah dilakukan sebelum ini.

"Sistem (SSPA) ini antara yang terbaik pernah diperkenalkan oleh kerajaan dan implikasi kewangannya juga tinggi, tertinggi yang pernah kita lakukan sebelum ini.

"Ini bukan masalah saudara saudari, masalah kita semua untuk mencari dana lebih, kewangan lebih dan saya akan runding dengan Menteri Kewangan," katanya.

Anwar berkata, beliau mahu semua penjawat awam bahawa kerajaan pernah menganggap atau memandang kajian SSPAsebagai perkara ringan atau enteng.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 25 April. - foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 25 April. - foto BERNAMA

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan setiap kali dalam mesyuarat bersama KSN, KPPA dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), beliau sentiasa mengingatkan supaya tiada kelompok penjawat awam yang rasa tertinggal atau tersisih.

"Kita mahu ambil tindakan SSPA ini secara menyeluruh dan saya mahu (ia) dilakukan bersama dengan reformasi penjawat awam.

"Jadi saya nak bagi ingatan kepada kelompok, kumpulan di luar termasuk pembangkang jangan mainkan isu ini kerana 12 tahun tidak ada kajian sistem persaraan yang sepatutnya berlaku setiap 10 tahun," katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, dengan pengiktirafan kepada penjawat awam menerusi SSPA, kerajaan mengharapkan golongan terbabit dapat menonjolkan prestasi lebih baik dan komited terhadap tugas.

Tegasnya, mana-mana penjawat awam yang malas dan memaparkan prestasi lemah, tidak harus diberikan kenaikan pangkat atau menerima pengiktirafan.

"Maknanya kita juga mengharapkan prestasi lebih baik, kerja lebih serius dan ketua jabatan mesti pantau kerana dalam kelompok yang besar, ada yang malas, ada yang lemah.

"Saya tidak fikir orang yang malas dan prestasi lemah harus diberikan kenaikan pangkat sebagai satu perkara biasa," katanya.

Selain itu, beliau berkata, segala kemudahan untuk penjawat awam dari Semenanjung ke Sabah Sarawak atau sebaliknya, dikaji semula.

"Kita beri kemudahan tapi kita pilih dan nilai prestasi masing-masing. Kalau teruk, lembab dan malas, saya tidak fikir kita harus berikan pengikitrafan.

"Saya minta KPPA dan pimpinan bincang dengan semua, bagi pandangan tetapi 'reform' dalam perkhidmatan awam, dalam erti kata tidak melayani kalangan kecil yang prestasinya sangat lemah," katanya.

Berita Harian X