Selasa, 30 April 2024 | 5:22pm
Najib ketika hadir di Mahkamah Tinggi, hari ini. - FOTO BERNAMA
Najib ketika hadir di Mahkamah Tinggi, hari ini. - FOTO BERNAMA

Penerbitan bon AS$3 bilion: Saksi setuju Najib dapat persetujuan Jemaah Menteri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah mendapatkan persetujuan sebulat suara Jemaah Menteri sebelum meluluskan surat sokongan kerajaan membabitkan penerbitan bon AS$3 bilion oleh anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2013.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penguasa Kanan Nur Aida Arifin, bersetuju dengan cadangan peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, berhubung persetujuan Jemaah Menteri, ketika dirujuk dengan dokumen surat sokongan bertarikh 14 Mac 2013.

Nur Aida turut bersetuju bahawa Najib hanya menjalankan tugasnya sebagai Menteri Kewangan ketika itu dan tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam penerbitan bon oleh anak syarikat 1MDB, iaitu 1MDB Global Investment Ltd (1MDB GIL).

Saksi ke-49 pendakwaan terbabit juga bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa Najib selaku Menteri Kewangan ketika itu, telah menghadiri Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Mac 2013 dan membentangkan memorandum kepada menteri Kabinet bagi mendapatkan persetujuan mengenai penerbitan bon berkenaan.

Bagaimanapun, Nur Aida menolak cadangan Wan Azwan Aiman bahawa tiada kesalahan salah guna dilakukan bekas Ahli Parlimen Pekan itu berhubung kelulusan surat sokongan berkenaan.

Wan Azwan: Tindakan Datuk Seri (Najib) menyatakan risiko penerbitan bon ini menunjukkan beliau tiada kepentingan mengenai perkara itu, malah risiko yang dimaklumkan mungkin menyebabkan ahli Kabinet tidak setuju dengan pengeluaran surat sokongan?

Nur Aida: Tidak setuju.

Wan Azwan: Sekiranya Datuk Seri mempunyai kepentingan dalam penerbitan bon ini, beliau sepatutnya berjaya mendapatkan jumlah dua kali ganda lebih besar (AS$6 bilion) daripada jumlah bon dinyatakan (AS$3 bilion)

Nur Aida: Tidak setuju.

Nur Aida memberikan keterangan terhadap Najib, 70, yang berdepan empat pertuduhan, iaitu menggunakan kedudukan beliau ketika itu untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Dalam perbicaraan pada November 2021, bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, ketika dirujuk surat sokongan itu memberitahu mahkamah bahawa kerajaan akan mengambil tanggungjawab membayar hutang 1MDB berjumlah AS$3 bilion jika syarikat itu gagal berbuat demikian.

Ismee dipetik berkata, surat sokongan itu menjelaskan sekiranya peminjam, 1MDB GIL tidak dapat membayar atau terdapat kekurangan dalam membayar hutang berkenaan, syarikat 1MDB akan memberi bantuan kewangan untuk memenuhi tanggungjawab membayar hutang terbabit.

Selain itu, Ismee berkata, sekiranya 1MDB gagal membayar hutang berkenaan, maka Kerajaan Malaysia akan mengambil tanggungjawab membiayai 1MDB bagi membayar hutang atau secara langsung membayar hutang hingga selesai.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Khamis ini.

Berita Harian X