Selasa, 30 April 2024 | 5:12pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Ramai peniaga bermusim pada Ramadan tak letak tanda harga

PUTRAJAYA: Peniaga bermusim yang kebanyakannya berniaga pada bulan Ramadan didapati gagal mematuhi sepenuhnya perundangan dikuatkuasakan terutama membabitkan tanda harga pada barangan jualan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, berkata hasil itu diperoleh melalui Ops Pantau 2024 bermula 12 Mac hingga 9 April lalu bagi memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang Ramadan dan Aidilfitri terhadap undang-undang dikuatkuasakan kementerian.

Beliau berkata, sebanyak 1,446 aduan pengguna diterima dalam tempoh sama membabitkan pelbagai kategori.

"Antara kesalahan dikesan adalah kegagalan meletakkan tanda harga, tidak menggunakan alat timbang yang sah dan menjual barang tiruan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azman berkata, sepanjang pelaksanaan Ops Pantau 2024, sebanyak 42,697 premis diperiksa di seluruh negara dan 169 kes dihasilkan, manakala 2,450 premis yang diperiksa membabitkan bazar Aidilfitri.

"KPDN berterima kasih kepada majoriti peniaga yang memberikan kerjasama sepanjang pelaksanaan Ops Pantau 2024 dan berharap pematuhan tinggi terhadap perundangan terus diamalkan bagi memastikan persekitaran perdagangan dalam negara yang adil dan kondusif," katanya.

Ops Pantau dilaksanakan seragam dan berfokus di seluruh negara dengan pemeriksaan dilaksanakan di lokasi tumpuan orang ramai antaranya bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya, pasar raya besar, pasar raya mini dan kedai runcit.

Selain itu, usaha berterusan kementerian dilakukan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang tidak munasabah (mencatut) oleh peniaga tidak beretika. – BERNAMA

Berita Harian X