Selasa, 30 April 2024 | 11:38am
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - NSTP
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - NSTP

Titah Adendum: Permohonan Tengku Zafrul jadi pencelah didengar 2 Mei

KUALA LUMPUR: Permohonan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, untuk menjadi pencelah dalam kes kebenaran semakan kehakiman difailkan Datuk Seri Najib Razak bagi mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, akan didengar Mahkamah Tinggi.

Titah Adendum berkenaan adalah supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Tengku Zafrul memohon menjadi pencelah supaya beliau dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi untuk memfailkan afidavit bagi membetulkan dakwaan kesilapan fakta dalam afidavit Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong semakan kehakiman Najib.

Ketika dihubungi media hari ini, peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan Hakim Datuk Amarjeet Singh menetapkan jam 2.30 petang pada 2 Mei ini untuk mendengar permohonan berkenaan.

Menurut Muhammad Farhan, pihaknya dimaklumkan oleh mahkamah melalui e-mel semalam berhubung tarikh pendengaran terbabit.

Media sebelum ini melaporkan 'saksi kritikal' yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu, disahkan ialah Ahmad Zahid.

Melalui surat dihantar kepada Setiausaha Amarjeet, pihak pembelaan Tengku Zafrul berkata, afidavit diikrarkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu adalah untuk menangani secara khusus perkataan terkandung dalam Afidavit Tambahan No 3 yang diikrarkan oleh Timbalan Perdana Menteri berkenaan pada 9 April lalu.

Menurutnya, ia berikutan terdapat fakta didakwa tidak tepat yang perlu diperbetulkan menurut bidang kuasa sedia ada mahkamah dan Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Ia berkata, pihaknya diarahkan Tengku Zafrul untuk menyatakan bahawa anak guamnya tidak mengambil pendirian dalam merit pertikaian antara pihak-pihak (dalam isu berbangkit).

Katanya, anak guam hanya ingin memastikan fakta dikemukakan dengan tepat di hadapan mahkamah secara neutral.

Sementara itu, permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib pula akan diputuskan pada 5 Jun ini.

Dalam permohonan itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah supaya semua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari lalu.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Berita Harian X