Isnin, 29 April 2024 | 8:22pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Hujan lebat, ribut petir diramal landa Sabah, Sarawak dan Perlis malam ini

KUALA LUMPUR: Hujan lebat, ribut petir beserta angin kencang diramal membadai kebanyakan kawasan di Sabah dan Sarawak selain seluruh Perlis serta beberapa daerah di Semenanjung sehingga jam 10 malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam hantaran di Facebook memaklumkan antara kawasan terkesan di Sabah adalah Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort dan Pantai Barat merangkumi Papar, Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu selain Labuan.

Katanya di Sarawak, cuaca sama diramal di kawasan Sibu (Selangau), Kapit (Kapit dan Bukit Mabong), Bintulu, Miri dan Limbang.

"Di Kedah, hujan lebat dan ribut petir diramal membadai Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan dan Pendang manakala di Perak merangkumi Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hilir Perak dan Muallim; Kelantan (Kuala Krai dan Gua Musang) dan Pahang (Lipis, Raub dan Temerloh)

"Di Selangor pula, ia membabitkan kawasan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Petaling selain ibu kota manakala Negeri Sembilan merangkumi Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Jempol danJohor iaitu daerah Tangkak, Muar dan Batu Pahat.

"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mililiter (mm) bagi setiap jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam," katanya

METMalaysia berkata amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang ramai turut diminta sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Berita Harian X