Isnin, 29 April 2024 | 11:22am
Khairul Azhari (dua dari kanan) menyantuni penduduk sekitar pekan Kuala Kubu Bharu sempena kempen PRK pagi ini. Gambar Mahani Ishak
Khairul Azhari (dua dari kanan) menyantuni penduduk sekitar pekan Kuala Kubu Bharu sempena kempen PRK pagi ini. Gambar Mahani Ishak

Calon PN tidak bimbang penubuhan cawangan DAP Melayu

KUALA KUBU BHARU: Penubuhan cawangan DAP Melayu yang baharu semalam, tidak menggentarkan Perikatan Nasional (PN) kerana tidak membabitkan pengundi dalam kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Calon PN bagi PRK Kuala Kubu Bharu, Khairul Azhari Saut, 54, mendakwa perkara itu tidak memberikan kesan berikutan penubuhan cawangan itu membabitkan pengundi yang terletak dalam DUN Batang Kali.

"Pada saya, penubuhan cawangan DAP Melayu itu tidak membabitkan pengundi DUN Kuala Kubu Bharu, jadi ia tidak memberi kesan sangat untuk PRK ini berikutan ia membabitkan DUN Batang Kali," katanya.

Semalam, sekumpulan 50 belia menyerahkan borang penyertaan DAP serta penubuhan DAP Melayu Cawangan Jalan Kemboja di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.

Hari ketiga kempen calon PN bagi PRK Kuala Kubu Bharu ini, tertumpu kawasan pekan dan premis perniagaan yang kebanyakannya diusahakan kaum Cina dan India.

Khairul Azhari berkata, selepas dua hari berkempen, beliau menyifatkan penerimaan majoriti penduduk yang dilawati khususnya Kuala Kubu Bharu menerima PN dengan amat baik.

"Saya lihat selepas dua hari, Alhamdulillah suasana pilihan raya cukup menceriakan, penerimaan majoriti penduduk yang kita lawati menerima PN dengan amat baik.

"Kita akan terus mendampingi semua kaum, tidak kira kaum bangsa dan agama sebaik mungkin di samping membawa isu dekat dengan rakyat.

"Kita tidak boleh membawa isu yang mungkin menyentuh pihak sana, yang boleh dilakukan ialah menyantuni semua rakyat seperti PN menjadi kerajaan, semua dapat (bantuan) tidak siapa tanpa mengira bangsa, fahaman politik.

"Justeru, kita akan meyakinkan pengundi dengan kaedah sebegini," katanya yang sedang bertemu mesra orang ramai di Pekan Kuala Kubu Bharu, pagi ini.

Pada masa sama, PN turut mengedarkan 'Warkah Abah untuk Kuala Kubu' serta risalah yang menyatakan PRK kali ini adalah referendum rakyat.

PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (Pang Sock Tao), PN (Khairul Azhari), Parti Rakyat Malaysia (Hafizah Zainudin) dan calon bebas (Nyau Ke Xin).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dengan meraih majoriti undi sebanyak 4,119.

Berita Harian X