Ahad, 28 April 2024 | 8:57pm
Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Datuk R Ramanan bersama Amanah Ikhtiar Malaysia dan KOOP Sahabat di pekarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh, hari ini. -BERNAMA
Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Datuk R Ramanan bersama Amanah Ikhtiar Malaysia dan KOOP Sahabat di pekarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh, hari ini. -BERNAMA

Lebih 5,000 tetamu hadir meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Sungai Buloh

KUALA LUMPUR: Lebih 5,000 tetamu hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R Ramanan, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh di sini, hari ini.

Ramanan berkata, rumah terbuka itu, yang dianjurkan bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Koop Sahabat, memberi peluang kepada pihaknya untuk menyantuni rakyat di samping meraikan Aidilfitri bersama rakan dan tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum.

"Saya sangat berbesar hati dan terharu dengan sambutan luar biasa masyarakat. Inilah masa untuk saya menyantuni rakyat di samping meraikan rakan-rakan pelbagai kaum dengan penuh semangat perpaduan.

"Terima kasih diucapkan kepada AIM dan Koop Sahabat kerana bekerjasama dengan Pusat Khidmat Rakyat Sungai Buloh atas penganjuran yang cukup meriah ini, terutama sahabat saya saudara Shamir dan warga kerja AIM," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Beliau berkata, pusat khidmat rakyat dipilih sebagai lokasi rumah terbuka bagi mendekatkan rakyat dan masyarakat Sungai Buloh sebagai institusi penghubung antara rakyat dengan kerajaan.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada hampir 200 individu yang terbabit dalam pengurusan jenazah termasuk penggali kubur, pemandu van jenazah dan tok siak sekitar Parlimen Sungai Buloh.

Rumah terbuka itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular seperti Ratu Rock Malaysia iaitu Ella, Santesh dan kumpulan trio wanita Defam yang popular dengan lagu Alamak Raya Lagi!

Kanak-kanak turut dihiburkan dengan kehadiran dua maskot dan beberapa badut sepanjang majlis yang berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga jam 3 petang itu.

Pelbagai juadah dihidangkan termasuk nasi beriani, kambing bakar, lemang, ketupat dan rendang hasil air tangan usahawan tempatan, sekali gus menjadikan suasana rumah terbuka itu lebih bermakna.

Antara tetamu yang hadir ialah pemimpin politik parti, rakan strategik, pengurusan tertinggi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta agensinya selain masyarakat tempatan Sungai Buloh.– BERNAMA

Berita Harian X