Ahad, 28 April 2024 | 6:59pm
Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.
Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Terengganu boleh cabar kesahan Akta 750 - Pakar

KUALA LUMPUR: Kerajaan Terengganu perlu mencabar kesahan Akta Laut Wilayah (Akta 750) di mahkamah jika serius mahu menolak pemakaiannya.

Pakar perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata walaupun akta itu masih sah namun ia tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Majlis Raja-Raja perlu bersetuju dan Undang-Undang Tubuh Kerajaaan Negeri dipinda sebelum mana-mana undang-undang Persekutuan boleh mengambil wilayah perairan sesebuah negeri dengan kaedah mengenakan batasan had.

"Akta ini mesti mengikut proses Perlembagaan, yang ditetapkan di bawah Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 38 memperuntukkan Raja-Raja Melayu bertindak mengikut budi bicara baginda apabila menimbangkan isu ini.

"Ini bermakna sesebuah negeri itu sendiri perlu meluluskan penerimaan pakai peruntukan akta itu dan membuat pindaan undang-undang tubuhnya untuk memberi kesan penyerahan wilayah perairannya kepada Persekutuan.

"Isu ini memerlukan proses Perlembagaan yang lebih terperinci kerana menyentuh hak kedaulatan raja pemerintah negeri," katanya kepada BH.

Media semalam melaporkan Akta 750 adalah sah dan terpakai di seluruh negara termasuk Terengganu walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu memutuskan menolaknya.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, akta yang mengehadkan sempadan maritim negeri sehingga tiga batu nautika iaitu 5.5 kilometer dari kawasan pantai itu hanya terbatal jika ia diisytiharkan sebaliknya oleh mahkamah.

Pada masa sama, Wan Ahmad Fauzi berkata, Parlimen tidak boleh meluluskan undang-undang dalam bidang kuasa negeri tetapi boleh menggubal undang-undang itu jika diminta untuk tujuan keseragaman antara negeri.

Beliau berkata, bagaimanapun, undang-undang sedemikian tertakluk kepada terima pakai oleh DUN.

"Semua pihak mesti menghormati federalisme dalam bentuk dan ciri yang dipersetujui oleh Raja-raja Melayu apabila Duli Yang Maha Mulia menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.

"Negeri yang merangkumi tanah, pulau, dan wilayah perairannya itu adalah terikat dengan hak raja-raja Melayu yang masih berdaulat.

"Raja-raja Melayu kita tidak pernah menyerahkan kedaulatan mereka apabila mereka menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

"Oleh itu, kedaulatan mereka terus terpelihara dan kedudukan itu termaktub dalam Perkara 181(1)," katanya.

Beliau berkata, jika kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan negeri ingin menjadikan peruntukan akta yang berkaitan itu boleh dikuatkuasakan, mereka mesti mengikuti proses penyerahan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menjadi Wilayah Persekutuan.

Katanya, dengan sekadar menggubal Akta 750, ia tidak akan menjadikan sah untuk mengambil hak wilayah perairan milik negeri.

"Proses mengenakan had batasan wilayah perairan itu sebelum akta itu diluluskan pada 2011 adalah berbeza kerana ia dilakukan melalui undang-undang darurat pada tahun 1969," katanya.

Berita Harian X