Sabtu, 27 April 2024 | 8:21pm
Menteri Pendidikan merangkap Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM), Fadhlina Sidek (kanan) bersama murid-murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Itam melihat keindahan flora dan fauna di The Habitat sempena Program Warisan UNESCO Pulau Pinang di Rizab Biosfera UNESCO Pulau Pinang, Bukit Bendera. - NSTP/DANIAL SAAD
Menteri Pendidikan merangkap Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM), Fadhlina Sidek (kanan) bersama murid-murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Itam melihat keindahan flora dan fauna di The Habitat sempena Program Warisan UNESCO Pulau Pinang di Rizab Biosfera UNESCO Pulau Pinang, Bukit Bendera. - NSTP/DANIAL SAAD

Susun semula program lawatan sekolah - Fadhlina

GEORGETOWN: Semua sekolah disaran menyusun semula program lawatan luar bilik darjah bagi memberi pengukuhan kepada proses pembelajaran dan pengajaran luas kelas, selaras pindaan Garis Panduan Lawatan Murid Sekolah tahun lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata menurut pindaan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Kementerian Pendidikan (KPM) Bilangan 9, lawatan murid pada masa ini dibenarkan hingga dua kali setahun bagi setiap murid mengikut keperluan dan kesesuaian.

"Kita beri kebenaran untuk guru-guru merancang lawatan anak-anak. Sebelum ini setiap sekolah hanya dua kali setahun tetapi sekarang setiap anak murid dibenarkan dua kali, jauh beza.

"Kita mahu anak-anak mengikuti pembelajaran di luar kelas supaya perspektif, pengalaman dan kemahiran mereka dapat (diwujudkan) di luar kelas," katanya di sini, hari ini.

Fadhlina berucap sempena Program Warisan UNESCO Pulau Pinang di Rizab Biosfera UNESCO Pulau Pinang, Bukit Bendera. - NSTP/DANIAL SAAD
Fadhlina berucap sempena Program Warisan UNESCO Pulau Pinang di Rizab Biosfera UNESCO Pulau Pinang, Bukit Bendera. - NSTP/DANIAL SAAD

Beliau menghadiri Program Warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Pulau Pinang: Rizab Biosfera Bukit Bendera melibatkan murid dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Itam, SMK Permatang Tok Jaya dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Han Chiang.

Fadhlina yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) berkata, KPM dalam proses memperkenalkan semula Tapak Warisan Dunia di bawah UNESCO dalam kalangan murid sekolah.

Setakat ini, katanya, KPM telah membuat program lawatan ke Tapak Warisan Dunia UNESCO di Banda Hilir, Melaka diikuti Pulau Pinang hari ini dan seterusnya ke Sabah serta Sarawak.

Beliau berkata, program itu adalah inisiatif KPM untuk kembali memperkenalkan tapak warisan UNESCO kepada murid secara lebih dekat dengan program sama telah dijalankan di Melaka dan akan menuju ke Sabah dan Sarawak pada masa akan datang.

Katanya, murid terbabit berpotensi menjadi 'duta' UNESCO selain yakin program sedemikian dapat meningkatkan minat dalam aspek sejarah serta pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

"Ini adalah komitmen saya dan kita mahu membabitkan anak-anak kita khususnya murid sekolah dalam menjadi sebahagian yang kita sebut sebagai 'advocator' dan juga duta UNESCO yang terkait rapat dengan biodiversiti yang kita dapat lihat pada hari ini," katanya.

Terdahulu, Fadhlina dalam ucapannya berkata, Rizab Biosfera UNESCO Bukit Bendera yang merangkumi The Habitat serta Bukit Bendera akan menjadi pusat global penting untuk penyelidikan dan pemuliharaan tropika, pendidikan alam sekitar dan amalan terbaik dalam pengurusan sumber semula jadi yang mampan.

Justeru, beliau menyuarakan keyakinan program lawatan berkenaan akan memberi manfaat dan memupuk kesedaran akan pentingnya mempertahankan dan memulihara khazanah alam semula jadi untuk generasi semasa serta masa depan.

Katanya, hasrat itu boleh direalisasikan melalui penganjuran program pendidikan serta aktiviti luar bilik darjah.

"KPM telah melaksanakan pendekatan yang mengutamakan Pendidikan Manusiawi dan Pembangunan Karakter sebagai usaha untuk melahirkan generasi yang mempunyai empati yang tinggi, cintakan keamanan serta bersatu dalam meraikan perbezaan.

"Pendekatan seumpama ini boleh memupuk minat terhadap alam semula jadi disamping menekankan kepentingan memulihara warisan biodiversiti dalam kehidupan kita," katanya.

Berita Harian X