Sabtu, 27 April 2024 | 10:19am
Calon Bebas, Chng Boon Lai menyerahkan borang pencalonan pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor. - Foto SAIFULLIZAN TAMADI
Calon Bebas, Chng Boon Lai menyerahkan borang pencalonan pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor. - Foto SAIFULLIZAN TAMADI

PRK KKB: Tempoh penyerahan borang pencalonan ditutup

HULU SELANGOR: Penyerahan borang pencalonan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) ditutup jam 10 pagi selepas dibuka bermula jam 9 pagi.

Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Yuhanas Auree Kamaruddin di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini.

Terdahulu, penyokong calon yang bertanding hadir ke pusat penamaan calon seawal 7 pagi dan cuaca baik ketika proses penamaan berlangsung.

PRK KKB diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos lalu, Kee Hiong menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti 4,119 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga 11.59 malam, 10 Mei ini.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei. – BERNAMA

Berita Harian X