Sabtu, 27 April 2024 | 9:31am
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 pada 24 Mei hingga 2 Jun ini, disasar menjadi pesta buat seisi keluarga untuk mendapatkan pelbagai genre buku di bawah satu bumbung.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 pada 24 Mei hingga 2 Jun ini, disasar menjadi pesta buat seisi keluarga untuk mendapatkan pelbagai genre buku di bawah satu bumbung.

PBAKL 2024 bakal jadi pesta keluarga dapatkan buku berkualiti

KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 pada 24 Mei hingga 2 Jun ini, disasar menjadi pesta buat seisi keluarga untuk mendapatkan pelbagai genre buku di bawah satu bumbung.

Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron, berkata ia berikutan pesta itu yang diadakan buat kali ke-41 menyediakan pelbagai genre buku termasuk kanak-kanak, komik, fiksyen dan akademik.

Acara tahunan yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan secara dalam talian, diharap dapat mengumpulkan keluarga untuk ke situ bagi membeli pelbagai buku.

"Saya berhasrat menjadikan PBAKL sebagai pesta keluarga apabila ibu bapa datang dengan anak-anak atau datuk datang dengan cucu untuk mendapatkan buku yang diperlukan.

"Ini kerana semua kategori bahan bacaan yang diperlukan bagi setiap lapisan usia ada dijual di PBAKL," katanya kepada BH.

Mohd Khair berkata, tahun ini pihaknya menjangkakan lebih 1.5 juta pengunjung datang ke pesta buku yang diadakan selama 10 hari.

Tahun lalu sasaran pihaknya adalah seramai 1.3 juta pengunjung namun jumlah yang hadir adalah seramai 1.6 juta orang.

PBAKL 2024 menyediakan pelbagai genre buku termasuk kanak-kanak, komik, fiksyen dan akademik.- foto hiasan BERNAMA
PBAKL 2024 menyediakan pelbagai genre buku termasuk kanak-kanak, komik, fiksyen dan akademik.- foto hiasan BERNAMA

"Ini juga adalah kali ketiga pesta ini akan diadakan secara dalam talian bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat hadir secara bersemuka untuk turut mendapatkan pelbagai genre buku yang dijual sepanjang acara berlangsung.

"PBAKL kali ini juga akan menjadi perhimpunan terbesar bagi buku akademik yang boleh dibeli secara bersemuka dan secara dalam talian," katanya.

972 pempamer termasuk 14 dari luar negara

Tahun ini terdapat sebanyak 972 pempamer termasuk 14 dari luar negara antaranya dari Singapura, Thailand, Filipina, India, China, Taiwan dan Iran.

Jumlah pempamer kali ini juga bertambah daripada 814 pada tahun lalu.

"Tahun ini juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat kali kedua akan merasmikan PBAKL," katanya yang akan mengadakan prapelancaran PBAKL pada 29 April ini.

Ditanya mengenai strategi tarikan pesta, beliau berkata sejak sebulan lalu pihaknya menggunakan #MalaysiaMembaca di pelbagai platform media sosial dan kini sudah mendapat lebih satu juta tontonan.

Selain itu katanya, pihaknya turut bekerjasama dengan Media Prima Berhad (MPB) sebagai rakan strategik dan untuk mendapatkan lebih banyak tarikan.

"Pempamer seperti penerbit buku juga tidak terkecuali giat memainkan peranan berusaha menarik ramai pengunjung dengan tarikan tersendiri seperti membuat promosi awal untuk menjual naskah terbaharu di acara itu nanti," katanya.

Justeru Mohd Khair berkata, pihaknya berharap PBAKL menjadi wadah yang mana masyarakat Malaysia mempunyai ruang dan peluang untuk mendapat buku terkini dan bermutu.

Dengan adanya penjualan secara dalam talian sepanjang pesta berlangsung, capaian untuk mendapatkan pelbagai jenis bahan bacaan akan lebih meluas.

"Ini sekali gus dapat menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat yang maju dan bertamadun tinggi," katanya.

Berita Harian X