Sabtu, 27 April 2024 | 8:54am
Tan Sri Azam Baki. - NSTP
Tan Sri Azam Baki. - NSTP

Agenda pemantapan tatakeloka, integriti jadi asas utama SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memastikan agenda pemantapan tatakelola serta penginstitusian integriti menjadi asas utama, selain siasatan kes jenayah rasuah yang menjadi tugas utama agensi itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata ia selari hala tuju perubahan atau 'game changer' seperti ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Isu-isu tatakelola ini meliputi pelbagai perkara... bukan sahaja integriti atau isu-isu penyelewengan serta rasuah, malah kelemahan tatakelola dalam pentadbiran seperti yang telah ditekankan Perdana Menteri.

"Dalam hal ini, Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM terus menerajui enam fungsi utama dalam mengambil alih peranan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Media SPRM 2023 di sini malam tadi.

Azam berkata, BPGN berperanan untuk menasihati kerajaan dan melaporkan perkembangan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Katanya, pembangunan NACS melibatkan tindakan penyelarasan input dan maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh bagi menggariskan hala tuju dan komitmen negara untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini hingga 2028.

Sementara itu, Azam berkata SPRM turut bergantung kepada media bagi memastikan segala informasi dan mesej antirasuah sampai ke setiap lapisan masyarakat di negara ini termasuk di agensi kerajaan, swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pusat pendidikan.

Beliau berkata ketika ini, media arus perdana masih sumber utama dan perlu diyakini berbanding media sosial kerana kelompok media arus perdana terdiri daripada kumpulan pengamal media yang profesional, terlatih, berlesen dan berautoriti.

"Jadi penyampaian berita dihasilkan itu berpandukan sumber yang sahih dan media arus perdana turut memainkan peranan signifikan dalam menangkis penularan berita-berita palsu yang disebarkan di media sosial," katanya.

Berita Harian X