Sabtu, 27 April 2024 | 7:36am

PRK DUN Kuala Kubu Bharu bermula hari ini

HULU SELANGOR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) akan membuka tirai hari ini dengan bermulanya proses penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini.

Bermula jam 9 pagi, bakal calon daripada parti yang bertanding termasuk calon Bebas boleh menyerahkan borang pencalonan masing-masing di Pusat Penamaan Calon (PPC).

Proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.

Sebaik urusan proses penamaan calon selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon yang layak bertanding bagi PRK berkenaan.

Setakat ini, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao telah dinamakan sebagai calon dari DAP, mewakili Kerajaan Perpaduan manakala pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, mendiang menewaskan Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Turut bertanding calon MUDA, Dr Siva Prakash mendapat 1,186 undi dan Chng Boon Lai dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) memperoleh 527 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding esok hingga 11.59 malam, 10 Mei.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) cuaca diramal baik di sebelah pagi di Kuala Kubu Baharu esok, manakala ribut petir dan hujan di sebelah petang dan malam.

SPR menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini, manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 27 April dan 7 Mei. - Foto Bernama
SPR menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini, manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 27 April dan 7 Mei. - Foto Bernama
Berita Harian X