Jumaat, 26 April 2024 | 10:54pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

SKM sasar semua masjid di Melaka tubuh koperasi kariah masjid

MELAKA: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka menyasarkan semua 189 masjid di negeri ini menubuhkan koperasi kariah masjid bagi memperkasakan pembangunan ekonomi komuniti masjid.

Pengarahnya, Mustafa Kamal Mohd Nor berkata, 66 masjid terbabit sudah menubuhkan koperasi kariah dengan bernaung bawah Koperasi Gabungan Masjid-Masjid Negeri Melaka Berhad (Kogmas).

Beliau memaklumkan daripada jumlah itu, 44 berstatus aktif, manakala selebihnya tidak aktif.

"SKM menyediakan banyak bantuan, latihan serta pinjaman bagi memperkasakan penubuhan koperasi kariah masjid di Melaka, dan kita juga mendapat sokongan kerajaan negeri dalam setiap program yang dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Aidilfitri Gerakan Koperasi Melaka 2024 yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Mengulas lanjut, Mustafa Kamal berkata, Kogmas akan diberikan tanggungjawab membantu koperasi kariah masjid yang tidak aktif, dengan menawarkan peluang perniagaan bawah program MyBaraqah Hab.

"Bawah program MyBaraqah Hab, ada pelbagai produk seperti air mineral dan sabun jenama Barakah dikeluarkan Kogmas. Produk berkenaan boleh dijual oleh koperasi yang tidak aktif, sebagai aktiviti perniagaan," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X