Jumaat, 26 April 2024 | 10:24pm
Azam menyampaikan hadiah tempat pertama kategori media cetak kepada Jamilul Anbia pada anugerah media SPRM 2023 di Hotel Impiana. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Azam menyampaikan hadiah tempat pertama kategori media cetak kepada Jamilul Anbia pada anugerah media SPRM 2023 di Hotel Impiana. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

NSTP ungguli Anugerah Media SPRM 2023

KUALA LUMPUR: Wartawan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) mengungguli Anugerah Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2023 malam ini.

NSTP merangkul dua tempat teratas dalam kategori media cetak dan portal berita melalui dua penerbitan di bawahnya iaitu Harian Metro (HM) dan New Straits Times (NST).

Hadiah utama kategori itu dimenangi Pengarang Berita HM, Mohd Jamilul Anbia Md Denin melalui laporan bertajuk 'Pakej beli bayi'.

Tempat kedua pula dimenangi wartawan NST, Aliza Shah Muhammad Shah, Iylus Marsya Iskandar, Siti Nur Amalina Kamal dan P Kalbana melalui artikel bertajuk 'MACC Netting More Big Fish'.

Jamilul membawa pulang hadiah RM8,000 bersama plak dan sijil, manakala kumpulan wartawan NST menerima RM6,000.

Semua anugerah disampaikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Terdahulu, Azam menerusi ucapannya berkata, SPRM amat berbesar hati dengan sambutan menggalakkan dari pengamal media yang menyertai Anugerah Media SPRM 2023.

"Saya dimaklumkan, penentuan pemenang untuk Anugerah Media SPRM 2023 diadili dua pakar media iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Mustapa Omar dan Penasihat Editorial Bebasnews, Datuk Mohd Zaini Hassan, serta dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Jules Rahman Ong.

Azam menyampaikan hadiah tempat kedua kategori media cetak kepada kumpulan wartawan NST pada Anugerah Media SPRM 2023 di Hotel Impiana. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Azam menyampaikan hadiah tempat kedua kategori media cetak kepada kumpulan wartawan NST pada Anugerah Media SPRM 2023 di Hotel Impiana. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

"Saya amat berterima kasih kepada peserta-peserta atas liputan, laporan dan artikel berkaitan SPRM dan pencegahan rasuah yang dihasilkan.

"Laporkanlah isu-isu rasuah dengan penuh tanggungjawab untuk mendidik masyarakat, dedahkan kepada mereka tentang bahayanya rasuah kepada negara," katanya.

Turut hadir pada majlis malam ini ialah Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Pengarang Kumpulan HM, Husain Jahit dan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, M Thillinadan.

Anugerah Media SPRM 2023 adalah penganjuran kali keempat sejak ia mula diperkenalkan pada 2020 oleh SPRM yang bertujuan mengiktiraf karya kewartawanan berkaitan dengan isu-isu rasuah.

Berita Harian X