Jumaat, 26 April 2024 | 4:05pm
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat melakukan persiapan menjelang hari penamaan calon esok ketika tinjauan Bernama di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Selangor bertempat di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor hari ini. - Foto BERNAMA

Persiapan pusat penamaan calon PKR Kuala Kubu Bharu capai 90 peratus

HULU SELANGOR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini giat melakukan persiapan akhir bagi memastikan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu esok berjalan lancar.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Yuhanas Auree Kamaruddin, berkata persiapan di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor yang dijadikan pusat penamaan calon, kini berada pada tahap 90 peratus.

"Insya-Allah kesemua petugas (pilihan raya) berada dalam keadaan bersedia dan persiapan pada hari ini pun hampir sempurna," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan bakal calon agar memastikan kesemua dokumen yang diperlukan lengkap bagi mengelakkan sebarang masalah ketika proses penyerahan borang pencalonan.

"Saya juga ingin mengingatkan kepada penyokong yang hadir esok supaya mengikuti peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon," katanya.

Pusat penamaan calon akan dibuka bermula 9 pagi dan ditutup sejam selepas itu.

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser dan SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Berita Harian X