Jumaat, 26 April 2024 | 3:29pm
Kuala Kubu Bharu mempunyai 50 peratus pengundi Melayu, manakala 48 peratus diwakili Cina dan India. - NSTP/ FAIZ ANUAR
Kuala Kubu Bharu mempunyai 50 peratus pengundi Melayu, manakala 48 peratus diwakili Cina dan India. - NSTP/ FAIZ ANUAR

PRK Kuala Kubu Bharu: Peratusan Melayu pro PKR, DAP signifikan - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Ketika ramai mengandaikan kelebihan calon Melayu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, penganalisis percaya peluang Pakatan Harapan (PH) tidak boleh diperkecilkan meskipun menampilkan calon bukan Melayu .

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kartini Aboo Talib berkata walaupun Dewan Undangan negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu diwakili 50 peratus pengundi Melayu, sokongan peratusan pengundi Melayu pro PKR dan DAP yang agak signifikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu juga perlu diambil kira.

Selain 50 peratus pengundi Melayu, 48 peratus daripada pengundi DUN Kuala Kubu Bharu dibarisi kaum Cina dan India.

Dalam pada itu, Kartini berkata PH bagaimanapun perlu bijak memenuhi jangkaan pengundi terkait isu semasa terutama dalam isu harga barang, kelembapan ekonomi serta isu berkaitan aspirasi Melayu serta Bumiputera.

"Sentimen pengundi akan menentukan menang atau kalah calon di Kuala Kubu Bharu.

"Kalau pengundi merasakan PH belum mencapai jangkaan untuk jaminan kesejahteraan hidup disebabkan harga beras naik, minyak naik, telur naik serta kelembapan ekonomi, selain tidak boleh menjaga aspirasi Melayu dan Bumiputera, maka Perikatan Nasional (PN) boleh menang bergaya," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian mengulas peluang parti yang bakal bertanding dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu selepas PH dan PN mengumumkan calon masing-masing.

PH mencalonkan Pang Sock Tao yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, manakala PN mencalonkan Pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu dijangka menyaksikan saingan sekurang-kurangnya tiga penjuru berdasarkan enam borang penamaan calon yang dijual Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sehingga semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas penamaan calon selesai hari ini sehingga 11.59 malam pada 10 Mei.

Isu KPI lebih dinilai berbanding pola kaum

Sementara itu, Penganalisis Politik dan Media Sosial dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy, ketika mengulas isu sama berkata soal peluang dalam PRK Kuala Kubu Bharu lebih cenderung dinilai kepada soal petunjuk prestasi utama (KPI) berbanding pola pengundian mengikut kaum.

"Kita tahu pola pengundian mengikut kaum amat jelas dalam sistem politik pilihan raya kita, yang mana majoriti orang Cina dan India mengundi PH, manakala Melayu hampir 70 peratus berdasarkan kajian mengundi PN.

"Namun saya rasa PRK Kuala Kubu Bharu lebih kepada soal pencapaian PH dalam mentadbir kerajaan ketika ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui politik Malaysia sudah banyak berubah yang mana kuasa di tangan rakyat dan mereka boleh mengubah kerajaan di dalam sekelip mata.

"Pengundi melihat kepada KPI ahli politik di satu-satu kawasan sama ada mereka benar-benar 'perform' atau tidak... faktor turun padang juga penting sama ada secara bersemuka mahupun dalam talian bagi golongan muda," katanya.

Sara menjelaskan, peluang di Kuala Kubu Bharu lebih kepada isu 'bread and butter' yang mana isu kenaikan harga barang antara menjadi perhatian.

Justeru, beliau percaya isu ekonomi akan dimainkan dan pasti memberikan impak terhadap undi sama ada peratus keluar mengundi akan rendah atau pola pengundian mengikut kaum akan terus mainkan peranan di sini," katanya.

Berita Harian X