Khamis, 25 April 2024 | 7:12pm
Onn Hafiz (tengah) mendengar penerangan mengenai operasi Ray Tech ketika melawat ke syarikat tersebut di SILC Gelang Patah, Iskandar Puteri. - Foto OMAR AHMAD
Onn Hafiz (tengah) mendengar penerangan mengenai operasi Ray Tech ketika melawat ke syarikat tersebut di SILC Gelang Patah, Iskandar Puteri. - Foto OMAR AHMAD

Johor bakal jadi hab industri berteknologi tinggi

ISKANDAR PUTERI: Hasrat Johor untuk menjadi hub industri berteknologi tinggi di Asia Tenggara, bakal menjadi kenyataan dengan kemasukan syarikat berimpak tinggi di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengoperasian syarikat pembuatan dan pemasangan mesin X-ray, Ray Tech (Malaysia) Sdn Bhd dengan nilai pelaburan RM50 juta membuka langkah buat Johor ke arah itu.

Katanya, pertambahan pelaburan yang dijangka meningkat sehingga RM150 juta bagi fasa seterusnya pada tahun akan datang memberi nilai tambah dan limpahan ekonomi kepada kerajaan negeri.

"Operasi syarikat ini yang hampir 100 peratus adalah tenaga kerja tempatan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan sehingga 300 perjawatan setelah ia melebarkan operasi.

"Ray Tech sudah berkolaborasi dengan institusi pendidikan tempatan seperti Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Southampton dan Talent Corp untuk merekrut bakat tempatan," katanya berucap pada perasmian syarikat pembuatan dan pemasangan mesin X-ray, Ray Tech (Malaysia) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian SILC Gelang Patah, di sini, hari ini.

Ray Tech, anak syarikat Unicomp Technology China, beroperasi di SILC Gelang Patah sejak September tahun lalu, mempunyai inovasi dan kepakaran yang tinggi dalam bidang teknologi sinar-X.

Ray Tech menawarkan pelbagai instrumen dan peralatan pengesanan sinar-X berteknologi tinggi yang sesuai untuk industri seperti penjagaan kesihatan, elektronik, semikonduktor, makanan, kenderaan elektrik, tenaga solar, bateri lithium, dan keselamatan.

Syarikat ini juga menghasilkan 500 paten dan kini mengeksport ke lebih dari 70 negara di seluruh dunia.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han memaklumkan, Johor meluluskan kira-kira 250 projek pelaburan membabitkan pelbagai sektor pada suku pertama pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, katanya, kebanyakan projek pelaburan yang dibawa masuk adalah dari China.

"China memang sumber pelaburan utama buat Johor dan juga Malaysia secara keseluruhannya, kita berharap hubungan baik ini akan terus memberi manfaat kepada Johor.

"Antara sektor dan industri utama yang disasarkan ialah membabitkan indsutri kimia, petrokimia, aeroangkasa, ekonomi digital, elektronik, farmaseutikal dan perubatan," katanya.

Berita Harian X