Khamis, 25 April 2024 | 6:41pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain

Polis siasat pengguna X muat naik komen jelik nahas helikopter

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan terhadap pemilik akaun media sosial X atas nama Saifuddin Shafik yang mengeluarkan komentar jelik berhubung tragedi dua helikopter terhempas di Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata kertas siasatan itu juga dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, sebuah telefon bimbit jenis iPhone 12 Pro dipercayai digunakan untuk membuat hantaran itu turut dirampas.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat ulasan atau spekulasi demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa terbabit.

"Turut diingatkan agar semua cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama membabitkan kegentaran awam melalui media sosial dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya.

Terdahulu, seorang pengamal media arus perdana meminta polis mengambil tindakan terhadap seorang pengguna media sosial yang mengeluarkan komentar jelik berhubung tragedi dua helikopter terhempas ketika menjalani raptai di ruang udara Pangkalan TLDM, Lumut pada Selasa lalu. – BERNAMA

Berita Harian X