Khamis, 25 April 2024 | 5:23pm
Sheikh ‘Umar Bagharib (dua dari kanan) melihat hasil nanas yang ditanam di Pusat Koreksional Jasin, hari ini. - NSTP/AMIR MAMAT
Sheikh ‘Umar Bagharib (dua dari kanan) melihat hasil nanas yang ditanam di Pusat Koreksional Jasin, hari ini. - NSTP/AMIR MAMAT

LPNM giat kempen 'sekali tanam, tiga kali tuai'

JASIN: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) memperhebatkan kempen penanaman nanas menggunakan konsep 'sekali tanam, tiga kali tuai' menerusi kerjasama pelbagai agensi, termasuk badan kerajaan yang lain.

Pengerusinya, Sheikh 'Umar Bagharib Ali, berkata kerjasama berkenaan bukan saja dapat memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat termasuk daripada negara pengimport tanaman terbabit, malah merealisasikan saranan kerajaan untuk melaksanakan konsep yang sangat berbaloi itu.

"Setakat ini kerjasama membabitkan Jabatan Penjara Malaysia menerusi Pusat Koreksional Jasin dengan penanaman seluas 10.2 hektar di Lipat Kajang, di sini," katanya memaklumkan pihaknya akan akan bergerak lebih agresif untuk penanaman menggunakan konsep itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke projek tanaman nanas serta merasmikan Pusat Pengumpulan Nanas di Pusat Koreksional Jasin, di sini.

Yang turut hadir Pengarah Pusat Koreksional Penjara Jasin, Mohd Idlan Jamil.

Mengulas konsep 'sekali tanam, tiga kali tuai', beliau berkata ia tiga elemen tuaian dengan yang pertama membabitkan pengeluaran nanas segar dan produk makanan hasilan seperti jus.

"Ia diikuti penjualan sulur atau benih tanaman pada tuaian kedua dan projek penghasilan silaj atau pemprosesan sisa tanaman untuk makanan haiwan ternakan ruminan melalui tuaian ketiga.

"Justeru, saya syorkan mana-mana agensi yang mempunyai tanah, termasuk pusat pengajian tinggi untuk menjalinkan kerjasama dan LPNM berbesar hati mengembangkan tanaman nanas memandangkan permintaan semakin meningkat dari dalam dan luar negara," katanya.

Nanas varieti MD2

Projek tanaman nanas di Jasin bermula 2018 membabitkan varieti MD2 di keluasan 0.6 hektar dan kini mencapai keluasan 10 hektar dengan penanaman varieti Moris dan Yankee.

Kerjasama lain diteruskan dengan pelaksanaan Projek Pengeluaran Benih LPNM Wilayah Tengah sejak tahun lalu dengan bantuan 42,000 sulur, bertujuan menjadikan Jabatan Penjara sebagai pengeluar benih berdaftar untuk wilayah membabitkan Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Selain Pusat Koreksional Jasin, LPNM turut menjalinkan kerjasama berbentuk insentif sulur dan kursus teknikal tanaman kepada Orang Yang Diselia (ODS) di tiga pusat koreksional lain bagi melaksanakan projek tanaman nanas meliputi Kem Penjara Gemas di Negeri Sembilan; Penjara Kluang di Johor serta Penjara Seberang Perai di Pulau Pinang.

Sheikh 'Umar Bagharib, berkata Pusat Pengumpulan Nanas dibangunkan itu diharap menjadi pusat utama pengumpulan hasil tanaman berkenaan bukan saja di Melaka, tetapi juga pemborong membabitkan dari Selangor, Pahang serta Johor.

Berita Harian X