Khamis, 25 April 2024 | 4:57pm

Emraz Travel & Tours diarah bayar pampasan RM46,940 kepada 6 individu

TAWAU: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Sabah, hari ini, membenarkan tuntutan pampasan (award) ganti rugi berjumlah RM46,940 oleh enam individu terhadap sebuah syarikat pengendali pakej umrah.

Presiden TTPM Sabah, Larina Wong Shiao Yee, membuat keputusan itu selepas pendengaran kes dikemukakan pihak penuntut Rajis Yusof, 41, bersama lima yang lain terhadap Emraz Travel & Tours Sdn Bhd yang berpangkalan di Putrajaya.

Menerusi tuntutan yang dikemukakan, syarikat pengendali pakej umrah berkenaan didakwa gagal menerbangkan semua mereka (mangsa) untuk mengerjakan ibadah umrah pada tarikh yang ditetapkan iaitu pada 20 Mac tahun lalu.

Selain itu, tuntutan itu juga menyatakan syarikat terbabit gagal membayar balik wang kesemua mangsa walaupun bayaran keseluruhan untuk pakej umrah yang ditawarkan telah dibuat sepenuhnya.

Berikutan itu, semua mangsa yang berasakan diperdaya syarikat berkenaan kemudiannya tampil memfailkan tuntutan kepada TTPM pada 16 Januari lalu.

Pada sesi pendengaran hari ini, Larinamengarahkan syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd selaku pihak penentang kes membayar pampasan berjumlah RM46,940 kepada semua pihak penuntut dalam tempoh 14 hari dari tarikh syarikat itu menerima 'Borang 8' iaitu award Borang Arahan bayaran balik selepas gagal hadir pada sesi pendengaran kes hari ini.

Sementara itu, dalam kes tuntutan berasingan hari ini, TTPM menetapkan tarikh 16 Mei depan sebagai tarikh pendengaran semula pertikaian pampasan ganti rugi bagi enam lagi individu (pihak penuntut) membabitkan sebuah lagi syarikat pengendali pakej umrah yang mengakibatkan mangsa kerugian keseluruhan melebih RM70,000.

Syarikat pengendali umrah terkemuka berpangkalan di Kelantan itu yang sudah menghentikan operasi namun masih mempunyai sebuah cawangannya di sini, memohon kepada tribunal untuk satu tarikh baharu pendengaran kes.

Berita Harian X