Khamis, 25 April 2024 | 4:51pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Townhall Lebaran Aidilfitri PPTD bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Townhall Lebaran Aidilfitri PPTD bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Penjawat awam perlu laksana tugas cepat, tonjol prestasi cemerlang - PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penjawat awam mengamalkan kecepatan dan kepesatan dalam pelaksanaan tugas supaya dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan segera.

Perdana Menteri berkata, penjawat awam tidak lagi boleh menggunakan cara lama dan perlu menonjolkan prestasi yang cemerlang supaya setiap dasar yang diumumkan berjalan dengan baik.

"Kadang-kadang saya rasa lemas, saya bukan muda lagi, sepatutnya saya lebih perlahan tetapi kadang-kadang saya lebih laju daripada yang umur 40-an, macam mana?

"Jadi apabila ada keputusan Jemaah Menteri, disampaikan oleh KSN (Ketua Setiausaha Negara), KSU (Ketua Setiausaha), kalau kita guna cara lama, kita tak mungkin boleh berjaya, inilah sebabnya mengapa saya katakan, kepesatan dan kecepatan, kelulusan itu sangat mendesak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PPTD) bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Presiden PPTD, Datuk Seri Isham Ishak.

Anwar berkata, sekiranya merasakan keputusan yang diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri tidak bijak, penjawat awam perlu segera memberikan input.

Bagaimanapun, katanya apabila sesuatu keputusan sudah dibuat, ia perlu dilaksanakan dengan segera.

"Mana-mana keputusan, kalau saudara, merasakan ini keputusan Jemaah Menteri tidak bijak, jadi segera bagi input tetapi apabila keputusan sudah dibuat, penjawat awam mesti jalankan dasar yang dibuat dan ini dasar baharu bukan sahaja bagi saudara malah kepada saya," katanya.

Mengambil contoh di Pulau Pinang sebagai negeri maju dan meraih pelaburan puluhan bilion ringgit selain pendapatannya antara tertinggi dalam kalangan negeri lain, namun memiliki kira-kira 2,000 miskin tegar.

"Macam di Pulau Pinang, negeri maju, pelaburan puluhan bilion (ringgit), pendapatannya antara tertinggi berbanding negeri lain jauh lebih tinggi,

"Tetapi masih ada sekitar 2,000 miskin tegar, saya kata tidak, saya beritahu Ketua Menteri, mahu ini diselesaikan dalam bulan ini, sebab kita ada upaya," katanya.

Berita Harian X