Khamis, 25 April 2024 | 7:31am
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

'Banyak kajian saintifik menunjukkan makan larut malam beri kesan negatif kepada kesihatan' - Pakar Dietitian

KUALA LUMPUR: Mengambil makanan pada larut malam disifatkan tidak sesuai diamalkan kerana sistem fisiologi tubuh manusia secara semulajadi hanya perlu makan pada waktu siang hari saja.

Pensyarah dan Dietitian, Program Dietetik dan Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Zahara Abdul Manaf, berkata ini memandangkan, terdapat banyak kajian saintifik menunjukkan makan larut malam memberi kesan negatif kepada kesihatan.

Katanya, tubuh manusia secara semulajadinya adalah makhluk diurnal, bermakna secara semulajadi aktif pada siang hari dan cenderung berehat dan tidur pada malam hari.

"Pola diurnal ini dipengaruhi oleh sistem biologi tubuh kita, terutamanya ritma sirkadian (jam biologi tubuh) kita.

"Walaupun manusia boleh berjaga malam dan makan pada waktu malam hari, tetapi proses fisiologi kita, termasuk metabolisme, pengeluaran hormon, enzim dan fungsi kognitif adalah optimum pada waktu siang dan kurang cekap pada waktu malam.

"Contohnya, fungsi organ pankreas tubuh kita menurun pada waktu malam, jadi bila kita makan makanan yang tinggi karbohidrat pada waktu malam, tubuh kita tidak dapat memproses dengan cekap.

"Akibatnya boleh meningkatkan risiko terhadap obesiti dan penyakit kronik seperti diabetes," katanya kepada BH.

Isnin lalu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa lesen operasi 24 jam yang diberikan kepada kedai makan dimansuhkan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader, berkata kajian menunjukkan terdapat kesan negatif akibat tabiat makan lewat malam seperti berat badan bertambah, gangguan tidur dan masalah penghadaman.

Zahara berkata, sekiranya perlu makan, terutamanya bagi pekerja yang bekerja 'syif', mereka mungkin memerlukan makan ringan.

"Kemudahan mesin layan diri yang mengandungi makanan sihat seperti buah-buahan, kekacang dan sandwich yang banyak sayur boleh disediakan atau mereka boleh membawa bekal makanan ke tempat kerja.

"Ini kerana jika makan pada waktu malam dijadikan amalan, ia boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada sistem penghadaman seperti masalah pedih ulu hati, terutamanya jika makan makanan berat atau berlemak hampir waktu tidur.

"Ini boleh mengganggu tidur dan menyumbang kepada kesihatan yang buruk secara keseluruhan," katanya yang turut bersetuju gesaan mansuhkan lesen kedai makan 24 jam dilaksanakan.

Katanya, jika menikmati hidangan di kedai makan 24 jam, agak sukar untuk mendapatkan pilihan makanan sihat kerana kebanyakannya menawarkan hidangan berminyak, makanan diproses, makanan segera, tinggi gula dan garam.

"Seeloknya, disyorkan untuk makan hidangan terakhir sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam sebelum waktu tidur atau sebaik-baiknya hidangan yang terakhir tidak melepasi jam 8 malam jika tidur pada jam 10 atau 10.30 malam.

"Ini membolehkan badan anda mempunyai masa yang mencukupi untuk mencerna makanan dengan betul sebelum berbaring untuk tidur.

"Kita tidak perlu mengambil makanan yang berat sebelum tidur kerana tidak memerlukan tenaga yang banyak sewaktu tidur, jadi tenaga ini akan ditukar kepada lemak dalam badan," katanya.

Justeru, beliau juga mencadangkan kedai makan ditutup untuk kerja-kerja pembersihan selepas waktu makan malam contohnya beroperasi sehingga jam 9 malam saja.

"Ini secara tidak langsung boleh meningkatkan status kebersihan kedai, kesegaran makanan yang dihidangkan selain mengurangkan orang ramai mengamalkan makan lewat malam.

"Saya juga ingin nasihatkan setiap orang membetulkan waktu tidur iaitu jangan lebih daripada jam 11 malam, atur waktu makan dua jam sebelum waktu tidur, pastikan makanan yang dimakan adalah sihat dan jumlahnya sesuai dengan keperluan tubuh dari segi usia, tahap aktiviti kita," katanya.

Berita Harian X