Rabu, 24 April 2024 | 5:39pm
Gambar fail. Menara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kwasa Damansara. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Gambar fail. Menara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kwasa Damansara. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

KWSP dijangka umum pengenalan Akaun 3 esok

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan pengenalan Akaun 3 yang dinanti-nantikan esok, menawarkan kelonggaran kepada pencarum untuk mengeluarkan sebahagian daripada tabungan dalam kadar tertentu bagi tujuan perbelanjaan kecemasan atau saat-saat diperlukan.

Ciri utama Akaun 3 adalah ia memberi kebebasan untuk sama ada ingin menyertainya atau tidak berdasarkan matlamat kewangan individu.

Difahamkan juga ahli KWSP akan diberi tempoh untuk membuat keputusan mengenai perkiraan yang akan disediakan kepada mereka, mulai esok.

Antara tiga akaun KWSP, Akaun 1 yang akan dikenali sebagai Akaun Persaraan bertujuan akan digunakan untuk simpanan persaraan, berserta dua akaun yang lebih fleksibel iaitu Akaun 2, yang akan dikenali sebagai Akaun Sejahtera, akan menampung pengeluaran untuk perbelanjaan pendidikan, kesihatan dan perumahan berserta satu lagi akaun baharu iaitu Akaun 3, yang akan dinamakan sebagai Akaun Fleksibel, yang mana berperanan berperanan sebagai tabungan untuk kecemasan atau bagi menampung perbelanjaan bagi saat diperlukan.

Ketika ini, 70 peratus caruman bulanan ahli KWSP disalurkan ke dalam Akaun 1, yang tidak boleh diakses sehingga selepas mereka bersara.

Sementara itu baki 30 peratus lagi masuk ke Akaun 2, yang boleh diakses untuk perbelanjaan pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan, serta pengeluaran separa sekali pada usia 50 tahun.

Bagaimanapun mulai Mei, sistem yang disusun semula akan menyaksikan caruman bulanan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 75 peratus ke dalam Akaun 1 (naik daripada 70 peratus), 15 peratus ke dalam Akaun 2 (turun daripada 30 peratus) dan 10 peratus ke dalam Akaun 3 (alokasi baharu yang lebih fleksibel).

Akaun 3 memberikan kelonggaran kepada pencarum untuk mengeluarkan dana pada bila-bila masa pada jumlah paling minimum iaitu RM50.

Selain itu, KWSP sedang mempertimbangkan untuk membenarkan ahli yang bertujuan memaksimumkan keuntungan modal untuk memindahkan dana daripada Akaun 3 ke Akaun 2.

Pengenalan Akaun 3 dibuat selepas empat program pengeluaran berkaitan wabak COVID-19 yang menyaksikan sejumlah RM145 bilion tabungan dikeluarkan daripada KWSP.

Sehingga Disember 2023, aset pelaburan dana pencen berkenaan berjumlah RM1.13 trilion.

KWSP membayar dividen RM57.8 bilion kepada ahli untuk 2023, terdiri daripada 5.5 peratus dividen untuk ahli dengan akaun konvensional dan 5.4 peratus untuk akaun Syariah.

KWSP mengumumkan dividen sebanyak 5.35 peratus untuk akaun konvensional dan 4.75 peratus untuk akaun Syariah pada 2022.

Pada akhir tahun 2023, KWSP mempunyai 8.5 juta ahli aktif. Daripada ahli ini, 6.7 juta mempunyai akaun konvensional, manakala selebihnya mempunyai akaun Syariah.

Berita Harian X