Rabu, 24 April 2024 | 4:09pm
Sebahagian petugas terdiri daripada anak kariah Masjid Jamek Sungai Nibong Besar dan petugas TLDM mendirikan khemah bagi melancarkan perjalanan terakhir Allahyarham Muhammad Firdaus yang dijangka tiba, petang ini. NSTP/Aminah Yusof
Sebahagian petugas terdiri daripada anak kariah Masjid Jamek Sungai Nibong Besar dan petugas TLDM mendirikan khemah bagi melancarkan perjalanan terakhir Allahyarham Muhammad Firdaus yang dijangka tiba, petang ini. NSTP/Aminah Yusof

Nahas helikopter: 'Tuan Kechik' jadi contoh adik-adik - Ibu

GEORGETOWN: "Mama papa, balik baik-baik," itu pesan Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44, dalam pertemuan terakhir bersama ibu bapanya di rumah anak sulung daripada tujuh beradik itu di Manjung, Perak, Isnin lalu.

Indon Hussin, 67, berkata menjadi rutin setiap bulan dia dan suami Ramli Abd Hamid, 68, pergi ke rumah milik Allahyarham Muhammad Firdaus di situ kerana mereka memegang kunci rumah berkenaan selepas anaknya berpindah ke Sabah.

Menjadi kebiasaan buat pasangan itu untuk membantu menjaga kebersihan rumah berkenaan, selain sekali sekala mereka akan mendapat kesempatan bertemu Pegawai Memerintah Skuadron 503 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu sekiranya Allahyarham singgah pulang dari Pangkalan Udara TLDM Lumut, Perak.

Pasangan itu juga sempat menyambut Aidilfitri bersama Muhammad Firdaus pada hari raya ketiga dan keempat di rumah berkenaan.

"Ketika nak balik, memang selalu dia akan cakap, mama papa balik baik-baik. Itu kebiasaan bila nak balik, dia akan peluk dan cium," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pantai Jerejak, di sini, hari ini.

Indon bercerita, anaknya yang dikenali sebagai 'Tuan Kechik' terutama dalam kalangan rakan sekerjanya bercita-cita menyertai pasukan tentera dan menjadi juruterbang sejak kecil.

"Dia dipanggil Tuan Kechik kerana badannya kecil. Tetapi jiwanya besar. Dia sebenarnya paling minat dengan jet pejuang.

"Dia juga seorang yang tegas, contoh berkaitan dengan masa. Sampai kadang-kadang kami cakap dengan dia secara bergurau, kami orang awam, bukan tentera," katanya.

Indon turut menyifatkan anak sulungnya itu seorang anak yang bertanggungjawab, mengambil berat dalam soal keluarga dan menjadi contoh ikutan buat adik-adiknya.

"Memang dia anak paling baik, bertanggungjawab. Semua anak-anak lain pun sangat baik. Cuma bila dia anak sulung, dia jadi contoh untuk adik-adik dia.

"Walaupun dia duduk jauh, dia selalu telefon bertanya khabar ibu bapa, adik-adik apa yang berlaku di rumah, selalu macam itu.

"Mak cik yakin, kalau mak cik meninggal dulu daripada dia, dia boleh jaga adik-adik tetapi dia yang pi (pergi) dulu...Allah sayang dia tetapi sedihnya dia tinggalkan anak yang masih kecil," katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan seorang anak lelaki berusia empat tahun.

Tambahnya, selepas pemergian Allahyarham, dia sering dikhabarkan dengan sikap baik anaknya termasuk ada yang datang bertemunya memberitahu mereka berasa terhutang budi dengan Muhammad Firdaus yang bermurah hati membantu rakan-rakan yang berada dalam kesulitan.

Jenazah Muhammad Firdaus yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM, Lumut di Perak, semalam akan dibawa terus ke Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, di sini atas permintaan keluarga.

Semalam, media melaporkan, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.32 pagi.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

Kesemua jenazah tiba di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh kira-kira jam 6 petang semalam untuk proses bedah siasat.

Berita Harian X