Rabu, 24 April 2024 | 3:16pm
Tangkap layar antara cemuhan yang dikesan tular selepas dimuat naik individu terbabit melalui hantaran di media sosial. - Foto tular
Tangkap layar antara cemuhan yang dikesan tular selepas dimuat naik individu terbabit melalui hantaran di media sosial. - Foto tular

Nahas helikopter di Lumut: Tolong hormat kesedihan keluarga mangsa

KUALA LUMPUR: Beberapa individu dikesan memuat naik kenyataan berbaur cemuhan dan tohmahan terhadap 10 anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang maut dalam insiden helikopter terhempas, semalam.

"Baru raptai dah xxxxxx (meninggal dunia), tak sempat nak perang.

"Apsal (kenapa) tak mati esok? Tarikh cantik esok doe.. 24/4/24.. ermmm rugi," itu antara cemuhan yang dikesan tular selepas dimuat naik individu terbabit melalui hantaran di media sosial.

Perbuatan itu menghiris hati netizen yang membaca kenyataan berkenaan dan rata-rata daripada mereka meluahkan ketidakpuasan hati dalam ruangan komen di media sosial.

Pada masa sama, orang ramai yang melihat hantaran berkenaan turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengambil tindakan terhadap individu yang melontarkan cemuhan tidak bertanggungjawab itu.

"Salam tuan, sangat kurang ajar, biadab komentar tuan inilah. Tuan buat permohonan maaf secara terbuka, mudahan pihak berkuasa tidak bertindak terlampau keras terhadap ciapan tuan.

"Dia ingat dia padam komen dah selamat dari dikecam.. sempat screenshotlah (tangkap layar. Jangan delete (padam) akaun pula," itu antara komen balas orang ramai pada hantara, berkenaan.

Semalam, media melaporkan tiga wanita antara 10 mangsa yang maut dalam nahas dua helikopter iaitu HOM M5033 dan Fennec M5026 terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Kedua-dua helikopter berkenaan sedang menjalani raptai sempena Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM Ke-90 yang dijadual berlangsung Sabtu ini, namun dibatalkan dan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat.

Berita Harian X