Selasa, 23 April 2024 | 11:23pm
Marhamah (kiri) menunjukkan gambar Allahyarham abangnya, Komander Mohamad Amir Mohamad yang terkorban dalam nahas dua helikopter TLDM terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak ketika ditemui di Felcra Bukit Kepong, hari ini.
Marhamah (kiri) menunjukkan gambar Allahyarham abangnya, Komander Mohamad Amir Mohamad yang terkorban dalam nahas dua helikopter TLDM terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak ketika ditemui di Felcra Bukit Kepong, hari ini.

Bapa reda pemergian anak 'tulang belakang' keluarga

SEGAMAT: Bapa kepada Pegawai Memerintah Skuadron 502 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Komander Mohamad Amir Mohamad, 44, menganggap pemergian anaknya itu yang juga tulang belakang keluarga, sebagai satu kehilangan besar.

Mohamad Borak, 71, bagaimanapun berkata, mereka sekeluarga reda dengan kehilangan anak keduanya itu walaupun arwah adalah individu yang banyak membantu adik-adiknya terutama dari segi kewangan.

Menurutnya, perkara yang akan paling diingati mengenai arwah adalah ketegasan terhadap adik-adiknya lebih-lebih lagi dalam aspek pelajaran selain selalu berpesan supaya mereka belajar bersungguh-sungguh.

"Arwah selalu bantu keluarga dari segi kewangan, sara bantu pelajaran adik-adik dan kalau saya memerlukan duit dia yang akan menunaikan tanggungjawab itu bagi membantu meringankan beban kami.

"Biasalah…dia tegas dengan adik-adiknya, sebagai abang mestilah tegas," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Felcra Bukit Kepong, Labis, di sini hari ini.

Mohamad yang berbangga dengan pilihan kerjaya anaknya sebagai tentera, berkata kali terakhir mereka berjumpa pada 1 Syawal lepas dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Sementara itu, adik mangsa, Marhamah Mohamad, 36, berkata dia tidak menyangka latihan yang disertai oleh abangnya itu adalah raptai terakhir.

Dia yang juga jurutera perisian digital dan anggota Pasukan Simpanan Sukarela TLDM di Johor Bahru, menyifatkan arwah seorang yang tegas, mengambil berat dan bertanggungjawab serta tidak lokek dalam membantu menanggung perbelanjaan sekolah adik-adiknya.

Muhamad Amir adalah juruterbang pesawat Fennec yang terbabit nahas ketika mengikuti latihan sempena hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut bersama Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139).

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Bukit Kepong, esok. - BERNAMA

Berita Harian X