Selasa, 23 April 2024 | 4:22pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (dua, kiri) bertanyakan sesuatu mengenai perniagaan yang diusahakan oleh pasangan asnaf Mohd Syfulzal Sidek (paling kanan) dan isteri Abdullah (dua, kanan) ketika Program Sinar Lestari YaPEIM di Kampung Surau, Utan Aji, Kangar. NSTP/Aizat Sharif
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (dua, kiri) bertanyakan sesuatu mengenai perniagaan yang diusahakan oleh pasangan asnaf Mohd Syfulzal Sidek (paling kanan) dan isteri Abdullah (dua, kanan) ketika Program Sinar Lestari YaPEIM di Kampung Surau, Utan Aji, Kangar. NSTP/Aizat Sharif

Pembentangan RUU 355 kini menunggu maklum balas Majlis Raja-Raja

KANGAR: Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) kini menunggu maklum balas daripada pihak Majlis Raja-Raja sebelum laporannya dibawa ke Kabinet dan dijangka dibentangkan pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata seperti dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sesi libat urus mengenai perkara itu masih dijalankan membabitkan semua pemegang taruh.

Katanya, walaupun RUU 355 adalah suatu akta di peringkat persekutuan, pelaksanaannya juga akan membabitkan peringkat negeri.

"Oleh itu, kita hendak pastikan supaya kesemua pemegang taruh di peringkat negeri, khususnya pihak istana yang merangkumi Duli Tuanku sebagai Ketua Agama Islam di negeri hendaklah dirunding dan dimaklumkan terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan perniagaan kepada tujuh asnaf terpilih di Perlis menerusi Program Sinar Lestari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Surau, Utan Aji, di sini, hari ini.

Mohd Na'im berkata, setakat ini, sesi libat urus berkenaan sudah merangkumi proses perundingan dengan agensi agama Islam di peringkat negeri seperti Mahkamah Syariah negeri, Ketua Hakim Syarie negeri, Ketua Pendakwa Syarie Negeri, Ketua Penguat kuasa Syariah negeri serta Majlis Agama Islam negeri.

"Alhamdulillah, kesemuanya sudah pun kita runding dan berbincang dengan mereka dan Insya-Allah, kita akan sampai kepada peringkat untuk menyediakan kertas yang akan dibawa masuk ke dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) bagi menyelaras semua perkara berkaitan hal ehwal Islam, termasuk undang-undang syariah.

"Setakat ini, kita masih menunggu maklum balas daripada Majlis Raja-Raja dan Pengerusi MKI yang baharu. Sehingga kita mendapat satu kenyataan rasmi daripada Majlis Raja-Raja dan Pengerusi MKI yang baharu itu nanti, baharulah kita dapat satu tarikh sesuai untuk pembentangan RUU 355,' katanya.

RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terhad, iaitu denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau/dan sebat enam kali kepada bidang kuasa lebih mengikut syariah, kecuali hukuman bunuh.

Berita Harian X