Selasa, 23 April 2024 | 3:52pm
Komander Muhammad Firdaus Ramli, antara mangsa nahas dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak hari ini.
Komander Muhammad Firdaus Ramli, antara mangsa nahas dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak hari ini.

Tragedi helikopter TLDM: 'Panggilan terakhir abang'

GEORGETOWN: "Harap semua faham, beri keluarga kami ruang kerana masih terkejut dengan kenyataan ini, sebaiknya biarlah ibu bapa kami yang beri kenyataan.

Begitu kata, Alia, 27, adik kepada Komander Muhammad Firdaus Ramli, antara mangsa nahas dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak hari ini.

Alia berkata, kejadian yang menimpa abang sulung daripada tujuh beradik itu memberi kesan kepada keluarga terutama ibu dan ayahnya.

Katanya, pada masa kini ibu bapanya tiada di rumah kerana bergegas ke Perak selepas menerima panggilan berhubung nahas itu.

"Beberapa jam sebelum kejadian abang menghubungi ibu dan ayah untuk bertanya khabar.

"Sudah menjadi rutin setiap hari mesti abang akan telefon ibu dan ayah sebelum dia memulakan tugas dan tak sangka panggilan pagi tadi adalah panggilan terakhirnya. Kami tahu mengenai nahas itu menerusi media sosial sebelum terima panggilan daripada kakak ipar yang berada di kem berpangkalan di Sabah antara jam 9.30 hingga 10 pagi memaklumkan abang (Muhammad Firdaus) antara mangsa terkorban.

"Sebaik menerima maklumat itu, ibu dan ayah serta beberapa ahli keluarga bergegas ke Pangkalan TLDM di Lumut bagi pengecaman mayat dan proses lain," katanya ketika ditemui di Pantai Jerjak, di sini, hari ini.

Rumah keluarga Komander Muhammad Firdaus Ramli, di Pantai Jerjak. - Foto NSTP/Zuhainy Zulkiffli
Rumah keluarga Komander Muhammad Firdaus Ramli, di Pantai Jerjak. - Foto NSTP/Zuhainy Zulkiffli

Alia berkata, setakat ini mereka tidak tahu lokasi jenazah akan disemadikan kerana keputusan itu akan dibuat ibu dan ayah mereka di Lumut.

"Abang seorang yang tegas dan tidak suka menyusahkan adik-beradik. Kali terakhir kami sekeluarga bertemu pada minggu pertama Syawal di pangkalan Lumut, namun tiada sebarang perubahan ditunjukkan.

"Diharap semua dapat tunggu maklumat lanjut daripada pihak berwajib serta beri ruang kepada kami pada masa ini," katanya lagi.

Tinjauan di pekarangan rumah mendapati, keluarga itu menerima kunjungan ahli keluarga terdekat.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 10 mangsa terdiri tujuh kru dan tiga penumpang maut, dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter yang terbabit dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pagi ini.

Dua helikopter jenis HOM dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.

TLDM dalam kenyataan berkata, akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, yang mengorbankan 10 pegawainya.

Berita Harian X