Selasa, 23 April 2024 | 10:29am

'Demi P besar, kita langkaui p kecil'

KUALA LUMPUR: Usaha bersungguh-sungguh Datuk Seri Anwar Ibrahim memperjuangkan nasib Palestin pada peringkat antarabangsa perlu disokong semua pihak merentasi sempadan politik dan sepatutnya dijadikan perhatian utama oleh sesiapa saja, tidak kira apa jua latar belakang.

Itu pandangan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang mengakui Perdana Menteri ke-10 (PMX) adalah watak utama dalam misi membawa keluar keluarganya dari Gaza ke Malaysia sehari sebelum Aidilfitri, pertengahan minggu lalu.

Melihat kejayaan usaha itu yang disifatkannya sebagai 'misi gila' sebagai bukti Malaysia punya hubungan diplomatik baik dengan banyak negara termasuk di Asia Barat, beliau menggesa semua pihak mengetepikan perbezaan politik dan bersatu padu dalam perjuangan membebaskan Palestin daripada rejim Zionis.

"Ia berkait 2P, satu P besar iaitu Palestin, satu P kecil iaitu politik. Mengenai P yang besar, sepatutnya melangkaui sempadan politik dan itu sebenarnya ditunjukkan rakyat Malaysia secara majoriti.

"Maksudnya, bila PMX bercakap isu Palestin, sama ada di Jerman, di Malaysia atau mana sekali pun, hatta di depan Biden (Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden) atau sebagainya, kita kena sokong kerana sebagai sebuah negara, itu adalah kekuatan kita.

Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah bertemu Nadir dan isteri serta anak di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya, minggu lalu. - Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri
Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah bertemu Nadir dan isteri serta anak di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya, minggu lalu. - Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri

"Kita tak boleh cakap dia ini bukan orang parti (politik) kita, jadi kita tak boleh sokong. Isu Palestin, kalau tak boleh menyatukan kita, maksudnya tiada ada apa-apa yang boleh menyatukan kita sebagai sebuah negara," katanya menyokong dan bersetuju dengan pihak yang bersama memperjuangkan nasib negara asal isterinya itu.

Tidak menolak untuk bersama sesiapa saja dalam bahtera sama yang berlayar dengan hala tuju sama, beliau berkata: "Saya boleh bersama-sama dengan mereka dalam apa saja yang dilakukan, itu yang kita cuba untuk jadikan titik kesatuan untuk rakyat Malaysia.

"Kita susah nak bersatu dalam negara kita. Jadi kita nak bersatu untuk kebajikan orang lain dan dalam susah senang yang dialami orang lain. Saya rasa itu boleh dijadikan titik yang sangat kuat untuk menyatukan kita. Kalau PMX diberi kredit kerana membantu Palestin, itu selayaknya untuk dia".

Hubungan sangat baik

Mengenai hubungan diplomatik Malaysia dengan banyak negara termasuk di Asia Barat, Nadir berpandangan pengaruh dengan sesebuah negara, antara lain dapat diterjemah dalam bentuk bantuan atau pertolongan yang sekali gus boleh memberi manfaat kepada rakyat masing-masing.

"Saya rasa misi ini (mengeluarkan keluarganya dari Gaza) adalah misi sangat berjaya. Alhamdulillah, dalam tempoh sangat singkat kira-kira sebulan saja. Ini bukti bahawa PMX dan Malaysia punya hubungan sangat baik dengan negara luar.

"Alhamdulillah, kekuasaan atau pengaruh itu meliputi Mesir yang lebih 'central' kepada isu-isu Asia Barat dan negara yang jauh lebih besar (berbanding Malaysia) dari segi kekuatan politik dan ekonomi, tapi boleh dipengaruhi oleh suara kecil dari Malaysia disebabkan hubungan yang baik," katanya.

Anwar bertemu Nadir dan isteri di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya, minggu lalu. - Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri
Anwar bertemu Nadir dan isteri di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya, minggu lalu. - Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri

Sementara itu, Nadir memberitahu, Perdana Menteri turut menyuarakan keprihatinan mengenai keperluan pendidikan anak-anaknya yang baru tiba di Malaysia dari Gaza, selain pendidikan isterinya, Reem Al-Minawi yang kini sedang menyambung pengajian doktor falsafah (PhD) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beliau tidak menolak kemungkinan memasukkan anak-anaknya ke sekolah kerajaan kerana ada kelonggaran untuk kanak-kanak Palestin belajar di institusi berkenaan.

"Itu antara benda yang disebut oleh Perdana Menteri, tanya macam mana nak meneruskan pengajian. Saya sebutkan anak kedua sedang mengikuti jurusan arkitek tapi universiti (di Gaza) dibom. Ada rancangan untuk mereka belajar di negara ini terlebih dahulu sementara menunggu perang tamat.

"Di Malaysia, paling bagus masuk sekolah kerajaan atau swasta. Kerajaan sekarang sudah lepaskan (benarkan) budak-budak Palestin masuk sekolah kerajaan. Ini inisiatif baharu dan pernah diumumkan Kementerian Pendidikan," katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Berlakon' keluar rumah elak dikesan tentera Zionis
  • Anak bongsu perlu rawatan punca utama misi
  • Nadir memberitahu, Perdana Menteri turut menyuarakan keprihatinan mengenai keperluan pendidikan anak-anaknya yang baru tiba di Malaysia dari Gaza, selain pendidikan isterinya, Reem Al-Minawi yang kini sedang menyambung pengajian doktor falsafah (PhD) di USIM. - Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri
    Nadir memberitahu, Perdana Menteri turut menyuarakan keprihatinan mengenai keperluan pendidikan anak-anaknya yang baru tiba di Malaysia dari Gaza, selain pendidikan isterinya, Reem Al-Minawi yang kini sedang menyambung pengajian doktor falsafah (PhD) di USIM. - Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri

    Berita Harian X