Isnin, 22 April 2024 | 8:43pm
(Gambar fail) Foto hiasan - FOTO REUTERS
(Gambar fail) Foto hiasan - FOTO REUTERS

Kanak-kanak perlu diberi pendedahan awal pendidikan digital - MCCA

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perlu diberi pendedahan awal kepada pendidikan digital bagi memastikan mereka cakna mengenai kebaikan dan keburukan serta kesan penggunaan siber termasuk media sosial, selain memahami etika penggunaan medium berkenaan.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, berkata langkah itu antara lain dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman golongan berkenaan mengenai penggunaan teknologi siber, sekali gus menghindarkan mereka daripada terdedah kepada aktiviti jenayah dalam talian seperti penipuan.

"Yang paling utama ialah pendidikan. Dengan pendidikan digital di sekolah, apa saja yang Kementerian Komunikasi cadangkan untuk kebaikan pengguna, ia lebih mudah dihadam, difahami dan diaplikasikan oleh masyarakat.

"Melalui pendidikan, anak-anak di sekolah diajar mengenai baik buruk penggunaan digital ini, dan mereka boleh menjadi perantara bagi menyampaikan maklumat yang dipelajari di sekolah kepada ibu bapa," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pendidikan di sekolah dan pendidikan tidak formal di rumah mengenai penggunaan siber juga perlu selari.

Sementara itu, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) dalam satu kenyataan, hari ini, menyarankan ibu bapa dan penjaga memastikan kanak-kanak hanya diberi akses kepada peranti serta kandungan dalam Internet dengan pengawasan dan pemantauan sewajarnya.

Sambil menyokong penuh kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menyampaikan amaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kepada ibu bapa supaya memastikan kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial sendiri, CMCF turut menggalakkan ibu bapa menyedari risiko dan bahaya yang wujud dalam media sosial, terutama terhadap kanak-kanak.

"Adalah penting untuk ibu bapa berkomunikasi secara terbuka dengan anak-anak mengenai penggunaan media sosial, dan memastikan mereka memahami langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil," katanya.

Menurut CMCF, langkah itu penting kerana kanak-kanak di bawah umur 13 tahun berkemungkinan tidak memahami sepenuhnya risiko dalam penggunaan media sosial.

Justeru tanpa pengawasan betul, katanya, mereka boleh menjadi mangsa aktiviti tidak selamat seperti penipuan, keganasan siber atau pergaulan memudaratkan.

"Media sosial mungkin memberi tekanan kepada anak-anak yang belum matang atau belum berupaya mengawal emosi mereka dengan baik. Pendedahan kepada kandungan tidak sesuai boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan emosi dan psikologi mereka," katanya.

Menurut CMCF lagi, kanak-kanak lebih cenderung berkongsi maklumat peribadi secara terbuka dalam media sosial kerana belum memahami bahaya dan risiko bakal timbul, sekali gus boleh mengakibatkan pencerobohan privasi atau perkongsian maklumat kepada mereka yang berniat jahat.

Semalam, Fahmi dilaporkan berkata, MCMC mendapati kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak sesuai menggunakan mana-mana media sosial, dan kebanyakan syarat platform media sosial juga tidak membenarkan golongan berkenaan memiliki akaun. – BERNAMA

Berita Harian X