Isnin, 22 April 2024 | 5:53pm
SPRM memohon Bantuan Perundangan Bersama (MLA) kepada Arab Saudi untuk mendapatkan maklumat berhubung surat derma kepada Najib.
SPRM memohon Bantuan Perundangan Bersama (MLA) kepada Arab Saudi untuk mendapatkan maklumat berhubung surat derma kepada Najib.

SPRM ke Arab Saudi untuk sahkan surat derma kepada Najib - Saksi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon Bantuan Perundangan Bersama (MLA) kepada Arab Saudi untuk mendapatkan maklumat berhubung surat derma kepada Datuk Seri Najib Razak.

Penguasa Kanan SPRM, Nur Aida Arifin, yang memberikan keterangan selaku saksi pendakwaan ke-49, berkata bagaimanapun agensi penguatkuasaaan itu tidak mendapat sebarang maklum balas mahupun kerjasama daripada negara berkenaan.

Beliau yang disoal balas peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, sehubungan itu, beberapa pegawai kanan SPRM pergi ke Arab Saudi untuk bertemu dua putera Raja Arab yang memberikan keterangan melalui peguam mereka.

Saksi itu disoal balas mengenai surat derma daripada bekas Ganenor Wilayah Madinah, Saud Abdulaziz Majid Al-Saud, iaitu sama ada SPRM menyoal siasat siapakah pemimpin negara Timur Tengah terbabit.

Nur Aida juga ditanya apakah tindakan diambil SPRM bagi memastikan surat derma berkenaan adalah tulen dan bukan satu penipuan.

Menurut saksi itu, beliau bukan salah seorang pegawai yang pergi ke Arab Saudi, terdiri daripada pegawai tinggi SPRM.

Beliau berkata, pegawai terbabit bertemu dengan dua putera raja di yang memberikan kenyataan melalui peguam mereka bahawa surat itu sememangnya daripada Al-Saud.

"Sama ada SPRM berpuas hati atau tidak dengan maklumat berkenaan, saya tidak bersetuju. Pertama, keterangan yang diambil bukan daripada Putera Al Saud sendiri dan tiada bukti bertulis yang menunjukkan salinan asal surat dan bukti yang menunjukkan ia sememangnya daripadanya (Putera Al-Saud)," katanya.

Bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo dalam keterangan sebelum ini, berkata ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low mengarahkan mendiang Kee Kok Thiam menyediakan surat pengesahan daripada Al-Saud bagi menyatakan dana yang dimasukkan ke dalam akaun Najib adalah derma dari Arab Saudi.

Loo berkata, kejadian itu berlaku di bilik 'Business Centre' di Hotel Mayfair di London ketika Jho Low meminta beliau menemuinya pada awal 2015.

Saksi itu berkata, beliau melihat sekutu Jho Low itu menyiapkan draf surat derma berkenaan yang ketika itu belum mempunyai tandatangan dan beliau tidak pasti bila surat tersebut dihantar kepada Najib.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Berita Harian X