Isnin, 22 April 2024 | 3:26pm
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader. - Foto fail NSTP
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader. - Foto fail NSTP

Mansuh lesen 24 jam kedai makan galak tabiat pemakanan, tidur lebih baik - CAP

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa lesen operasi 24 jam yang diberikan kepada kedai makan dimansuhkan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata kajian menunjukkan terdapat kesan negatif akibat tabiat makan lewat malam seperti berat badan bertambah, gangguan tidur dan masalah penghadaman.

Beliau berkata, pihaknya sekian lama menyeru larangan kedai makan beroperasi 24 jam dengan alasan akses terhad kepada makan lewat malam akan menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat.

Katanya, penyelidikan menunjukkan individu yang makan lewat malam melebihi 40 peratus daripada keperluan tenaga harian mereka, menimbulkan faktor risiko ketara bagi obesiti.

"Sementara tabiat pemakanan tidak sihat, ditambah pemakanan tidak seimbang terdiri makanan tinggi kandungan lemak dan garam (biasa terdapat dalam makanan Malaysia) seperti snek selepas makan malam juga dikaitkan risiko penyakit kardiovaskular.

"Ketersediaan makanan dan minuman meluas selama 24 jam mempunyai implikasi ketara terhadap kesihatan mulut, selain akses mudah kepada snek manis dan minuman yang didapati pada bila-bila masa boleh menimbulkan ancaman berterusan kepada enamel gigi selain meningkatkan risiko kaviti dan jangkitan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Tinjauan Kesihatan Pergigian Kebangsaan, sebanyak 94.6 peratus orang dewasa Malaysia memerlukan beberapa bentuk rawatan pergigian dengan kerosakan gigi menjadi masalah utama.

Malah, enam daripada 10 orang dewasa memerlukan penjagaan akibat kerosakan gigi, berdasarkan tinjauan dijalankan pada 2022.

Mohideen berkata, pada masa ini rakyat Malaysia dalam keadaan tidak sihat kerana mempunyai prevalen obesiti tertinggi dalam kalangan orang dewasa di Asia Tenggara.

Katanya, dalam Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, sebanyak 50.1 peratus daripada populasi dewasa dilaporkan mengalami berat badan berlebihan (30.4 peratus) atau obes (19.7peratus).

"Berbanding individu dengan berat badan normal, obesiti meningkatkan risiko diabetes tahap dua sebanyak tujuh kali ganda pada lelaki dan peningkatan 12 kali ganda pada wanita.

"Kajian tempatan mendapati sebanyak 30 peratus daripada pesakit diabetes tahap dua adalah obes secara klinikal, manakala obesiti adalah faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes tahap 2, penyakit kardiovaskular dan kanser.

"Memandangkan situasi dan jumlah rakyat Malaysia terjejas tinggi, RM9.65 bilion dibelanjakan setiap tahun bagi menangani NCD di negara ini," katanya lagi.

Mohideen berkata, CAP menyokong langkah beberapa kedai makan memendekkan waktu operasi, namun ia perlu diwajibkan kerana pada masa ini, masih terdapat restoran beroperasi selama 24 jam.

"Kerajaan perlu lebih serius mengawal persekitaran yang menggalakkan obesiti dengan mewajibkan semua kedai makanan ditutup pada tengah malam dan bukannya dibenarkan beroperasi 24 jam sehari," katanya.

Berita Harian X