Ahad, 21 April 2024 | 5:08pm
Penumpang beratur di kaunter pada Khamis lalu bagi menjadualkan semula penerbangan selepas semua penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ke Sabah, Sarawak dan Brunei dibatalkan berikutan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Penumpang beratur di kaunter pada Khamis lalu bagi menjadualkan semula penerbangan selepas semua penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ke Sabah, Sarawak dan Brunei dibatalkan berikutan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Letusan Gunung Ruang: 214 penerbangan keluar masuk Sabah dan Sarawak batal, 33,864 penumpang terjejas

KUALA LUMPUR: Sebanyak 214 penerbangan keluar masuk ke Sabah dan Sarawak terpaksa dibatalkan susulan letusan gunung berapi di Ruang di Indonesia pada Selasa lalu.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, pembatalan kesemua penerbangan itu menjejaskan seramai 33,864 penumpang yang keluar masuk dari dua negeri terbabit untuk tempoh dua hari pada Khamis dan Jumaat lalu, susulan letusan berkenaan.

Letusan abu tebal dikhuatiri menjejaskan ruang udara sekitar termasuk Sabah, memaksa syarikat penerbangan mengambil langkah membatalkan sementara penerbangan.

Empat syarikat penerbangan, iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air dan Firefly terpaksa membatalkan kesemua penerbangan membabitkan dua negeri berkenaan.

Walaupun pada awal ada syarikat penerbangan cuba memulihkan operasi penerbangan kelmarin, namun terpaksa membatalkannya selepas mengambil kira keadaan cuaca dan keselamatan operasi.

Letusan itu yang memaksa beribu-ribu penduduk sekitar berpindah apabila lahar mengalir ke kampung mereka, mula mengeluarkan abu beberapa jam kemudian dan disusuli kepulan asap 400 meter di atas puncak.

Agensi volkanologi sebelum itu memberi amaran bahawa aktiviti gunung berapi di Ruang masih tinggi dengan potensi bahaya termasuk batu terbang, awan panas dan aliran lahar.

Berita Harian X