Ahad, 21 April 2024 | 1:24pm
Dasar Pandang ke Timur memberi sumbangan yang besar dalam membentuk industri automotif Malaysia. - Foto BERNAMA
Dasar Pandang ke Timur memberi sumbangan yang besar dalam membentuk industri automotif Malaysia. - Foto BERNAMA

Jepun mahu jalin hubungan lebih erat dengan Malaysia - Duta

KUALA LUMPUR: Jepun mahu menjalin hubungan lebih rapat dengan Malaysia selaras dengan lembaran baharu Dasar Pandang ke Timur yang berdasarkan kepada situasi ekonomi dan sosial semasa.

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi, berkata walaupun dasar itu memberi sumbangan yang besar dalam membentuk industri automotif Malaysia, kini terdapat keperluan untuk bergerak ke industri baharu muncul, seperti penjagaan kesihatan untuk masyarakat menua dan pencegahan bencana, yang Jepun mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

"Dasar Pandang ke Timur bermula 42 tahun lalu dengan penghantaran pelajar dan pelatih ke Jepun bagi membawa balik pengetahuan dan kepakaran mereka dari Jepun untuk membangunkan ekonomi di Malaysia.

"Hubungan ini diwujudkan berdasarkan pertukaran sumber manusia dan telah menjadi asas yang kukuh bagi hubungan Jepun-Malaysia.

"Kini, kami sedang melihat bidang-bidang ekonomi baharu untuk Jepun bagi terus bekerjasama termasuk keselamatan siber, teknologi maklumat, daya tahan rantaian bekalan dan peralihan tenaga," katanya.

Menurut Takahashi, dasar itu juga perlu bergerak sejajar dengan perkembangan terkini dalam ekonomi Malaysia yang mengalami pertumbuhan luar biasa.

"Kami kini boleh bekerja sebagai rakan kongsi dengan kedudukan yang sama dalam kedua-dua sektor awam dan swasta," katanya.

Beliau menegaskan ini juga selaras dengan meningkatnya hubungan dua hala yang kukuh di antara kedua-dua negara selaras dengan dengan Perkongsian Strategik Komprehensif yang diumumkan pada Disember tahun lalu, semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun.

Takahashi menyifatkan hubungan dua hala di antara Jepun dan Malaysia seumpama sebatang sungai besar yang mengalir dan berkembang dengan lancar, berasaskan hubungan diplomatik dan ekonomi selama 67 tahun yang boleh dibangunkan lagi dengan meluas dan mendalam untuk memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

"Sejak kemerdekaan Malaysia, kita telah (menjalin) hubungan yang baik, dan bekerjasama melalui Asean serta meningkatkan hubungan melalui Dasar Pandang ke Timur yang telah banyak menyumbang dalam mengukuhkan hubungan Jepun-Malaysia," katanya.

Kerjasama melalui Inisiatif Asean dan Serantau

Takahashi berkata, Jepun menyokong penuh inisiatif Asean seperti yang didukung semasa ulang tahun ke-50 Persahabatan dan Kerjasama Jepun-Asean tahun lepas di empat bidang di bawah rangka kerja Pandangan Asean mengenai Indo-Pasifik (AOIP).

AOIP ialah inisiatif Asean untuk menggalakkan kerjasama di rantau Indo-Pasifik dan meliputi kerjasama dalam maritim, ketersambungan, Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 dan ekonomi serta berkemungkinan untuk bidang-bidang kerjasama yang lain.

"Bagi Malaysia dan Jepun, secara umumnya kita adalah negara maritim, dikelilingi oleh laut dan makmur melalui perdagangan bebas dan kedaulatan undang-undang, dan oleh itu kami berharap untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang ini serta keselamatan di rantau ini," kata Takahashi.

Malaysia dan Jepun mewujudkan perkongsian ekonomi melalui Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Jepun, perjanjian perdagangan komprehensif pertama Malaysia yang berkuat kuasa pada 13 Julai, 2006.

Selepas itu, perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Asean-Jepun berkuat kuasa untuk Malaysia pada 1 Feb, 2009, dan ia termasuk akses pasaran melalui konsesi tarif yang lebih rendah dan peraturan asal.

Begitu juga Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dan inisiatif Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran turut meningkatkan kerjasama ekonomi serantau untuk kedua-dua negara.

"Jepun dan Malaysia juga boleh bekerjasama untuk memberikan bantuan pembangunan kepada negara-negara lain yang memerlukan seperti Afghanistan, atau mana-mana negara seperti di Afrika atau Palestin," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X