Ahad, 21 April 2024 | 12:51pm
Ruzaana Mohamed (kanan) bersama pegawainya menunjukkan wang tunai dan pelbagai barang yang dirampas dalam serbuan sindiket pemalsuan dokumen UNHCR - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Ruzaana Mohamed (kanan) bersama pegawainya menunjukkan wang tunai dan pelbagai barang yang dirampas dalam serbuan sindiket pemalsuan dokumen UNHCR - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

2 lelaki Rohingya jual dokumen UNHCR ditahan

KOTA BHARU: Dua lelaki warga Myanmar etnik Rohingya ditahan kerana terbabit dalam kegiatan pemalsuan slip permohonan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) kelmarin.

Lelaki terbabit yang berusia 28 dan 30 tahun yang juga etnik Rohingya ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen di sebuah rumah sewa di Kampung Changgal, dekat Pasir Puteh, jam 2 pagi.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Kawalan), Ruzaana Mohamed berkata, turut dirampas adalah wang tunai RM140,000 dan lima slip permohonan kad UNHCR palsu yang disyaki diproses oleh mereka.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu dipercayai terbabit dengan sindiket mengeluarkan slip permohonan kad UNHCR palsu dengan bayaran RM2,000 bagi seorang.

"Pemeriksaan di dalam rumah menerusi ops sapu/kutip menemui dua unit komputer riba milik suspek pertama yang berusia 28 tahun.

"Siasatan mendapati ada dokumen slip permohonan kad UNHCR yang dipercayai akan digunakan untuk mendapatkan kad UNHCR secara tidak sah dan teratur. Pemeriksaan selanjutnya menemui wang tunai RM140,000.

"Suspek pertama warga Myanmar yang juga etnik Rohingya menetap di negara ini dengan menggunakan kad UNHCR dan dia mengaku pemilik komputer riba," katanya pada sidang media di Pejabat Imigresen di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu menjalankan kegiatan mengeluarkan slip permohonan kad UNHCR palsu sejak tiga tahun lalu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Menurutnya, suspek pertama ditahan mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (pemalsuan dan pindaan bagi pengendorsan atau dokumen) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (penduduk dilarang membenarkan imigran haram untuk masuk dan tinggal di premis).

Menurutnya, seorang lagi warga Myanmar ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan siasatan lanjut masih dijalankan sama ada lelaki itu menjadi pembantu kepada suspek pertama.

Pada perkembangan yang lain, Ruzaana berkata, pihaknya juga berjaya menahan seorang lelaki dan tiga wanita warga Myanmar kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 30 tahun. Kesemua mereka dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

"Imigresen menggesa orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang," katanya.

Berita Harian X