Ahad, 21 April 2024 | 10:03am
Komplikasi kesihatan yang dialami Ibrahim yang didukung Muhammad Nadir menjadi punca misi gerakan menyelamatkan keluarganya keluar dari zon perang di Gaza. Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Komplikasi kesihatan yang dialami Ibrahim yang didukung Muhammad Nadir menjadi punca misi gerakan menyelamatkan keluarganya keluar dari zon perang di Gaza. Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

'Berlakon' keluar rumah elak dikesan tentera Zionis

KUALA LUMPUR: Bersama enam anak termasuk tiga yang masih kecil, Reem Al-Minawi, 43, terpaksa berjalan kaki, menumpang kereta dan lori serta kereta keldai dari Khan Younis di Gaza untuk ke sempadan Mesir dalam usaha menyelamatkan diri dari Gaza yang diserang tentera Zionis.

Ia pengalaman perit dilalui wanita kelahiran Palestin berkenaan, isteri aktivis kemanusiaan dari Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang meredah pelbagai rintangan untuk keluar dari kancah perang ketika itu.

Menceritakan kisah dilalui isteri dan anaknya, Nadir, 37, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Cinta Gaza Malaysia (CGM), berkata misi membawa keluar keluarganya dari Palestin atas inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu penuh berisiko dan mereka menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT.

Aktivis kemanusiaan, Muhammad Nadir Al-Nuri ketika temuramah di Ibu Pejabat Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Bandar Baru Bangi. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Aktivis kemanusiaan, Muhammad Nadir Al-Nuri ketika temuramah di Ibu Pejabat Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Bandar Baru Bangi. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

Katanya, perancangan rapi dilakukan dan selepas perbincangan, beliau mahu Reem dan anak-anaknya yang hanya membawa satu beg kecil 'berlakon' keluar rumah seolah-olah hanya mahu bersiar di kawasan sekitar bagi mengelak pergerakan mereka dikesan tentera Zionis.

"Proses membawa keluar keluarga saya dari Gaza dibuat dalam keadaan sangat berbahaya tetapi Perdana Menteri sudah membuat rundingan mendapatkan bantuan Kerajaan Mesir. Paling kritikal perjalanan dari Rafah ke sempadan.

"Dalam keadaan biasa, untuk ke sempadan dari Rafah hanya ambil masa kurang 10 minit menaiki kereta, tetapi dalam suasana perang, ia menjadi sangat mendebarkan. Sampai di sempadan sebelah Mesir, isteri dan anak-anak ditahan sembilan jam bermula 12 tengah hari.

"Jam 9 malam, mereka akhirnya dilepaskan untuk memasuki Mesir selepas mendapat kebenaran kerajaan negara itu. Ia hasil rundingan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) yang sudah diatur Perdana Menteri," katanya.

Isteri dan enam anak Nadir tiba di Lapangan Antarabangsa Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9 April, sehari sebelum Aidilfitri yang dianggap aktivis itu sebagai hadiah paling berharga dalam hidupnya.

Rabu lalu, Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjemput Nadir, Reem dan tiga anak mereka, Haura, 5; Qamar, 3, dan Ibrahim, 2, hadir ke Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Pada pertemuan itu, Anwar mengakui terkesan mendengar cerita anak Nadir yang teruja melihat buah tembikai dan telur sejurus tiba di negara ini dari Gaza kerana sudah lama tidak dapat menikmati makanan itu di wilayah bergolak berkenaan.

Menceritakan detik paling menyentap hati sepanjang 200 hari keluarganya berdepan peperangan di Gaza, Nadir dalam nada sebak, memberitahu beliau terputus hubungan dengan isteri dan anak-anaknya selama lebih seminggu ketika Israel mula melancarkan serangan bertalu-talu dan mengebom kediaman penduduk.

"Ia disebabkan bekalan elektrik terputus di seluruh Gaza, komunikasi dengan keluarga terhenti. Ketika itu, jika ada laporan berita memaparkan gambar mayat penduduk Gaza akibat pengeboman Israel, saya akan memeriksa satu persatu wajah tidak bernyawa itu, nak tahu adakah isteri atau anak-anak saya.

"Setiap hari saya buat perkara itu kerana tidak tahu nasib keluarga di sana. Selepas lapan hari, barulah mereka menghubungi saya memaklumkan selamat dalam kejadian itu," katanya menambah terpaksa menyematkan dalam hati kemungkinan terburuk kehilangan isteri dan anak-anak akibat peperangan.

Katanya, ketika saat genting misi membawa keluar isteri dan anak-anaknya dari Gaza, hubungan turut terputus lebih sejam ketika keluarganya berada di sempadan Rafah.

 Aktivis kemanusiaan, Muhammad Nadir Al-Nuri bersama ahli keluarga yang diselamatkan ketika temuramah di Ibu Pejabat Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Bandar Baru Bangi. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Aktivis kemanusiaan, Muhammad Nadir Al-Nuri bersama ahli keluarga yang diselamatkan ketika temuramah di Ibu Pejabat Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Bandar Baru Bangi. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

"Selepas isteri dan anak-anak keluar rumah, kami terputus hubungan kerana tiada internet, tetapi ketika itu menantu saya yang ada di Gaza masih boleh menghubungi mereka menggunakan talian tempatan sebeum menyalurkan maklumat kepada saya.

"Ketika isteri dan anak tiba di sempadan, kami terputus terus hubungan. Ketika itu, pelbagai andaian berlegar dalam kepala kerana tidak tahu nasib mereka, sama ada berjaya memasuki Mesir atau tidak kerana di situ ada pangkalan tentera yang pernah dibom sebelumnya.

"Saya akui, sudah tidak ada perasaan langsung. Saya reda seandainya mereka ditakdirkan syahid ketika dalam perjalanan untuk ke sini," katanya turut memaklumkan keluarganya berpindah enam kali dalam usaha menyelamatkan diri selepas rumah mereka rosak dibedil tentera Zionis.

Selama tiga bulan, anak dan isterinya berpindah randah menumpang di rumah orang tidak dikenali sebelum kemudian menumpang rumah saudara yang turut dihuni 60 ahli keluarga lain. Atas faktor keselamatan, keluarganya kemudian keluar dari rumah itu menuju selatan Gaza dengan berjalan kaki sepanjang hari.

"Seminggu selepas keluar dari situ, rumah berkenaan dibom tentera Israel yang mengorbankan lima anak saudara isteri, manakala yang lain cedera. Mendengar berita itu, saya bersyukur kerana Allah melindungi keluarga saya, tetapi sedih dengan lima kanak-kanak yang syahid," katanya.

Berita Harian X