Ahad, 21 April 2024 | 9:12am
Ahmad Zahid bersalaman dengan hadirin pada majlis di Kota Kinabalu, malam tadi. - FOTO BERNAMA
Ahmad Zahid bersalaman dengan hadirin pada majlis di Kota Kinabalu, malam tadi. - FOTO BERNAMA

Ahmad Zahid mahu lebih ramai anak muda Sabah ikuti program TVET

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mahu lebih ramai anak muda di Sabah diberikan pendidikan dan latihan teknikal dan latihan (TVET) bagi menampung permintaan tenaga mahir daripada pelabur asing atau domestik di negara ini.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu memaklumkan baru-baru ini, beliau ditawarkan oleh China untuk menghantar 2,000 pelajar Malaysia bagi mengikuti program TVET dengan biasiswa penuh ke negara berkenaan, justeru beliau mahu memastikan 500 daripada tempat itu diisi oleh anak muda Sabah.

"Saya memberi jaminan bahawa generasi muda di Sabah turut diberikan pendidikan TVET. Ini juga bagi memastikan anak muda Sabah dilatih serta diberikan pekerjaan berdasarkan teknologi tinggi," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri UMNO Bahagian Putatan, di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, dan Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohamed.

Seterusnya, Ahmad Zahid berkata, Sabah menerima RM11.34 bilion pelaburan tahun lalu, justeru potensi pelaburan yang besar perlu diterjemahkan kepada pembangunan ekonomi rakyat di negeri ini, terutama bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Beliau berkata, GiatMARA adalah institusi TVET yang diberi kepercayaan untuk melaksanakan agenda meningkatkan kemahiran generasi muda dan setakat ini, terdapat 1,345 institut berkenaan di Malaysia. – BERNAMA

Berita Harian X