Sabtu, 20 April 2024 | 5:44pm
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Asits Sanna.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Asits Sanna.

Gunung Ruang: Tiada keperluan penduduk Sabah pakai pelitup muka

KOTA KINABALU: Tiada keperluan untuk penduduk Sabah memakai pelitup muka buat masa ini susulan letusan Gunung Ruang di Sulawesi, Indonesia.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Asits Sanna bagaimanapun menasihatkan penduduk Sabah segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda atau gejala pernafasan.

"Jabatan juga memantau penyakit berkaitan jerebu seperti jangkitan saluran pernafasan atas, asma dan konjunktivitis di beberapa klinik kesihatan dan hospital sentinel di negeri ini.

"Justeru, jabatan menasihatkan orang ramai untuk mengikuti laporan status kualiti udara yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar

https://apims.doe.gov.my/home.html dan mengambil tindakan kesihatan berpandukan IPU di kawasan masing-masing.

"Jabatan Kesihatan sentiasa memantau persekitaran akibat kejadian letusan gunung berapi ini dan kejadian penyakit akibat pencemaran udara.

"Sebarang perubahan status pencemaran udara akan dimaklumkan dari masa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Dr Asits berkata setakat ini Gunung Ruang dilaporkan meletus sebanyak enam kali dengan asap letusan berwarna kelabu hingga hitam dengan ketinggian sekitar 3,000 meter diperhatikan di atas puncak disertai dengan bunyi deruan dan gempa bumi.

Katanya, beberapa lokasi di kepulauan berdekatan mengalami hujan abu gunung berapi.

"Letusan gunung berapi boleh membebaskan zarah berbahaya seperti abu serta gas karbon dioksida (CO2) dan sulfur dioksida (SO2). Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan, letusan yang dicerap adalah sehingga 16,764 meter (55,000 kaki) di udara.

"Bagaimanapun, pemantauan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak

menunjukkan bahawa kualiti udara di permukaan bumi terjejas," katanya.

Berita Harian X