Sabtu, 20 April 2024 | 5:12pm
Dr Dzulkefly (tengah) ketika ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri AMANAH di Parit Keroma, di Muar. - NSTP/ ALIAS RANI
Dr Dzulkefly (tengah) ketika ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri AMANAH di Parit Keroma, di Muar. - NSTP/ ALIAS RANI

Kemungkinan PRK di 6 kerusi Parlimen BERSATU: AMANAH tak akan mendahului soal calon

MUAR: Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak akan mendahului dalam soal berkaitan calon sekiranya ditakdirkan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di enam kerusi Parlimen milik wakil rakyat BERSATU yang mengisytiharkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun berkata, pihaknya sedia untuk mengadakan perbincangan dengan semua parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan memandangkan soal berkaitan meletak calon atau tidak perlu diputuskan dalam perbincangan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

"Ini bukan satu pendirian yang boleh dibuat mana-mana pihak secara khusus... kita mempunyai jalinan dan kerjasama sangat bagus dalam Kerajaan Perpaduan sama ada bersama PH atau BN.

"Saya yakin perkara ini akan dapat dibincangkan secara cermat, telus dan mengutamakan dasar ditetapkan.

"Saya tidak wajar mendahului dasar ditetapkan bersama secara konsensus, jadi kita sepakat sama ada berkaitan pendekatan atau strategi jika berlaku PRK ini," katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri AMANAH di Parit Keroma, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi AMANAH Johor merangkap Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan dan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.

Sebelum ini, UMNO menerusi Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi mahu parti itu bertanding di semua enam kerusi Parlimen terbabit jika berlaku PRK.

Ia selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan perlembagaan BERSATU yang dibuat melalui Perhimpunan Agung Khas (EGM) parti itu pada 2 Mac lalu.

Kelulusan itu membolehkan langkah seterusnya diambil BERSATU untuk mengosongkan enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyatnya yang menyokong Kerajaan Perpaduan, sekali gus diadakan PRK.

Enam wakil rakyat itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Berita Harian X