Sabtu, 20 April 2024 | 4:41pm
(Gambar fail) Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. - NSTP/SADIQ SANI
(Gambar fail) Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. - NSTP/SADIQ SANI

Zambry setuju moratorium pelawaan PPT Swaakreditasi dilaksanakan

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, bersetuju moratorium pelawaan Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) Swaakreditasi dilaksanakan bagi tempoh tiga hingga lima tahun bagi membolehkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menilai semula kriteria penilaian berkaitan.

Zambry berkata, pihaknya memandang serius laporan dapatan audit MQA yang menunjukkan prestasi PPT Swaakreditasi kurang memuaskan sejak kebelakangan ini.

Justeru, beliau berkata, pelaksanaan moratorium itu bertujuan memastikan kelestarian kualiti, selain turut membabitkan pengauditan dan penambahbaikan berterusan yang lebih berstruktur terhadap semua PPT Swaakreditasi sedia ada.

Katanya, pelaksanaan itu wajar mengambil kira faktor penilaian yang telah dibentangkan dan keperluan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memelihara status PPT berprestij di negara ini.

Zambry berkata, beliau juga menyarankan setiap PPT Swaakreditasi memperkukuh Pusat Jaminan Kualiti dengan kakitangan mahir dan dilengkapi latihan yang diiktiraf MQA.

"Sebagai contoh, penyertaan program 'Certified Quality Assurance Officer' (CQA) perlu menjadi kriteria utama bagi kakitangan ditempatkan di Pusat Jaminan Kualiti universiti," katanya dalam ucapan pada Sesi Libat Urus MQA bersama PPT Berstatus Swaakreditasi di Universiti Multimedia (MMU), hari ini.

Teks ucapan Zambry itu dibacakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman. Program julung kali anjuran MQA dengan kerjasama MMU itu dihadiri 19 PPT membabitkan lapan universiti awam, tujuh universiti swasta dan empat universiti/kampus cawangan.

Laporan dapatan audit MQA telah merekodkan satu PPT mencatat skor 90; 80 (tujuh PPT); 70 (enam PPT); 60 (dua PPT); dan 50 (dua PPT).

Mengulas lanjut, Zambry berkata, setiap PPT Swaakreditasi mesti mendapatkan skor baik sekitar 80 dan untuk terus maju, pendekatan proaktif perlu diambil dalam usaha memastikan pendidikan tinggi negara sentiasa relevan, inovatif serta holistik.

Beliau berkata, usaha memperkasakan universiti dengan pendigitalan juga penting bagi menghadapi ekonomi digital dan memperluas akses kepada pendidikan tinggi bagi semua lapisan masyarakat.

"Selain itu, kerjasama dengan pihak industri juga perlu diadakan bagi mempertingkat dan memastikan kerelevanan program pendidikan dengan keperluan pasaran kritikal," katanya.

Berita Harian X