Sabtu, 20 April 2024 | 4:07pm

'Abang lari panggil mak, menangis selepas disimbah air panas' - Adik

GEORGETOWN: Keluarga kepada lelaki orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down yang melecur di bahagian depan dan belakang badan akibat disimbah air panas dalam lif sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, dekat sini tidak pernah berkomunikasi dengan suspek yang melakukan perbuatan itu.

A Krishna Armi, 23, berkata, pada hari kejadian dia yang baru tidur selepas pulang bekerja syif malam dikejutkan ibunya kira-kira jam 10 pagi dan memberitahu abangnya, Solai Raj, 33, menangis kesakitan dengan keadaan kulit melecur serta terdapat bahagian yang sudah menggelembung.

"Dia lari naik sendiri ke rumah kami di tingkat 16 panggil emak sambil menangis. Saya bagi abang duduk dekat kipas dan sejam kemudian baru dapat hantar abang ke klinik di Bayan Lepas sebelum ambulans bawa dia ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Setahu saya, abang tidak berselisih faham dengan sesiapa. Dia orang yang disenangi ramai walaupun OKU. Dia biasa berjalan bersendirian tanpa perlu ditemani untuk ke kedai dan sebagainya.

"Perempuan itu (suspek) kami tak kenal. Dia duduk di situ juga. Kami tak pernah sembang dengan dia dan tak tahu apa masalahnya. Jadi kami hubungi pihak pengurusan dan minta periksa rakaman CCTV (Kamera Litar Tertutup) untuk tahu apa yang sebenarnya berlaku," katanya ketika ditemui di HPP di sini, hari ini.

Krishna Armi berkata, keluarganya sudah merujuk perkara itu kepada peguam dan berharap kes abangnya yang merupakan anak ke-13 daripada 14 beradik mendapat pembelaan sewajarnya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Pulau Pinang (HPP), Dr Goh Hin Kwang, berkata mangsa mengalami kecederaan melecur meliputi enam peratus daripada permukaan kulitnya dengan tempoh pemulihan dijangka masa kira-kira dua minggu untuk pulih sepenuhnya.

Beliau berkata, daripada segi klinikal, punca kecederaan adalah disebabkan air panas dan mangsa kini ditempatkan di Unit Perawatan Kebakaran. Mangsa dijangka boleh dibenarkan pulang dalam masa seminggu, jika proses pemulihan berjalan lancar.

"Dari awal kita tengok daripada segi klinikal kecederaan itu disebabkan air panas. Untuk kita tahu secara pasti sama ada ia (disebabkan) asid perlu sedikit masa lagi kerana simptom (jika ada) mungkin dua tiga hari tetapi dalam aspek klinikal kemungkinan besar air panas.

"Kita jangka kita kena pantau sekurang-kurangnya seminggu untuk lihat dari segi perkembangan luka melecur tersebut kalau semua berjalan lancar mungkin dalam seminggu sudah boleh balik paling lama dua minggu," jelasnya.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim turut hadir melawat pemuda OKU itu berkata, pihaknya menghulur sumbangan RM500 dan bersedia memberi bantuan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

"Saya berbual dengan mangsa selama hampir 40 minit dan saya lihat dia seorang yang positif. Dia nampak ceria dan ramah berbual siap mahu belanja saya makan walaupun pertuturan nampak ada sikit kesulitan.

"Saya juga ingin melahirkan kekesalan atas apa yang telah berlaku dan ingin menyeru masyarakat supaya lebih peka dan sensitif terutama membabitkan insan istimewa," katanya.

Siew Khim (dua, kanan) berbual bersama Solai Raj yang melecur di bahagian depan dan belakang badan akibat disimbah dengan air panas oleh jiran ketika mengadakan lawatan di Hospital Pulau Pinang, hari ini. - Foto ihsan Lim Siew Khim
Siew Khim (dua, kanan) berbual bersama Solai Raj yang melecur di bahagian depan dan belakang badan akibat disimbah dengan air panas oleh jiran ketika mengadakan lawatan di Hospital Pulau Pinang, hari ini. - Foto ihsan Lim Siew Khim
Berita Harian X