Sabtu, 20 April 2024 | 1:04pm

Sultan Selangor zahir ucapan takziah pemergian Tun Hanif Omar

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar, yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Menurut hantaran dalam Instagram Selangor Royal Office, Allahyarham pernah dilantik sebagai Ketua Polis Selangor pada 1971 selama dua tahun.

"Atas jasa dan bakti Allahyarham, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah mengurniakan Darjah Kebesaran Dato' Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A.) pada 1992.

"Baginda berdua mendoakan semoga roh Allahyarham Mohammed Hanif dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama golongan beriman serta beramal soleh," menurut hantaran itu.

Tun Mohammed Hanif Omar - Gambar fail
Tun Mohammed Hanif Omar - Gambar fail

Mohammed Hanif, 85, yang menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 2.15 pagi tadi akibat sakit buah pinggang, dilantik sebagai Ketua Polis Negara keempat pada usia 35 tahun bermula 8 Jun 1974 sebelum bersara pada 15 Januari 1994. – BERNAMA

Berita Harian X