Sabtu, 20 April 2024 | 12:29pm
Sultan Sharafuddin berkenan melihat pemandangan sekitar dari Bamgunan Kompleks LakePoint. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Sultan Sharafuddin berkenan melihat pemandangan sekitar dari Bamgunan Kompleks LakePoint. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

Sultan Selangor rasmi Kompleks LakePoint Setia AlamImpian

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Kompleks LakePoint, satu tarikan baharu S P Setia Bhd di Setia Alam Impian, hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Baginda merasmikan kompleks yang merangkumi sebahagian daripada perbandaran Setia AlamImpian itu dan ia dijangka menarik kira-kira 12,000 pengunjung setiap bulan.

Pengerusi S P Setia Bhd, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail, berkata sejak Kompleks LakePoint membuka pintunya kepada umum pada Ogos tahun lalu, sambutan diterima menggalakkan daripada pengunjung Shah Alam dan juga daerah berdekatan.

"Kompleks LakePoint baharu ini terdiri daripada LakePoint Central (pusat runcit), LakePoint Club (rumah kelab) dan LakePoint Gallerie (galeri jualan dan pejabat), yang terletak bersebelahan dengan LakePoint Park (taman dan tasik 31 ekar) dengan landskap dan infrastruktur yang dipertingkatkan.

"Kompleks LakePoint bersedia untuk menjadi permata mahkota perbandaran pelan induk seluas 499.78 hektar (1,235 ekar) kami di Setia AlamImpian di Shah Alam.

"SP Setia yakin kompleks ini akan mengukuhkan kedudukan Setia AlamImpian sebagai salah satu lokasi berprestij di Lembah Klang," katanya ketika sembah ucapan pada majlis perasmian kompleks berkenaan di sini, hari ini.

Syed Anwar berkata, LakePoint Central merangkumi kawasan ruang runcit yang boleh disewa bersih seluas 28,038 kaki persegi.

Menurutnya, Kelab LakePoint pula menawarkan kemudahan rekreasi termasuk empat gelanggang badminton, gelanggang futsal, kolam renang infiniti bersaiz Olimpik, kolam renang, sauna, studio tarian, bilik permainan, gim yang menghadap ke LakePoint Park, dan dewan besar yang boleh memuatkan 1,000 orang.

Berita Harian X