Sabtu, 20 April 2024 | 11:11am
Rakyat Iran mengibarkan bendera negara itu dan Palestin ketika menyertai demonstrai anti-Israel selepas solat Jumaat di Tehran semalam. - Foto AFP
Rakyat Iran mengibarkan bendera negara itu dan Palestin ketika menyertai demonstrai anti-Israel selepas solat Jumaat di Tehran semalam. - Foto AFP

Tiada tanda-tanda Tehran mahu balas serangan Israel

DUBAI/BAITULMAQDIS: Walaupun letupan menggegarkan bandar Iran semalam yang disifatkan sumber sebagai serangan Israel, Tehran dilihat tidak memperbesarkan insiden itu, malah negara itu menunjukkan tiada rancangan untuk membalas dendam.

Skala serangan yang terhad dan tiada tindak balas Iran itu menunjukkan kejayaan diplomat yang berusaha mengelakkan perang sejak serangan dron dan peluru berpandu Iran ke atas Israel Sabtu minggu lalu.

Media dan pegawai Iran menyifatkan sejumlah kecil letupan yang menurut mereka berpunca daripada pertahanan udara Iran mengenai tiga dron di atas bandar Isfahan.

Portal Arab News melaporkan mereka merujuk insiden itu sebagai serangan oleh 'penyusup' dan bukannya oleh Israel, mengelakkan keperluan membalas dendam.

Seorang pegawai Iran berkata, Iran tiada rancangan membalas tindakan Israel atas insiden itu.

"Sumber asing insiden itu belum disahkan. Kami tidak menerima sebarang serangan luar dan perbincangan lebih menjurus kepada penyusupan daripada serangan," kata pegawai itu.

Sehingga ini, Israel tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden itu.

Menurut Israel, selama beberapa hari pihak mereka merancang untuk membalas serangan Iran, serangan langsung pertama ke atas Israel oleh Iran dalam beberapa dekad perang bayangan yang dilancarkan oleh proksi yang meningkat di seluruh Asia Barat melalui pertempuran selama enam bulan di Gaza.

Amerika Syarikat (AS) menerima notis awal mengenai serangan Israel yang dilaporkan ke atas Iran tetapi tidak menyokong operasi itu atau memainkan sebarang peranan dalam pelaksanaannya, kata media AS yang memetik pegawai.

Sementara itu, NBC dan CNN yang memetik sumber yang biasa dengan perkara itu dan seorang pegawai AS berkata, Israel memberikan Washington pra-pemberitahuan mengenai serangan itu.

Pelbagai rangkaian memetik pegawai mengesahkan serangan berlaku di Iran, dengan CNN memetik seorang pegawai menyatakan serangan itu tidak menyasarkan kemudahan nuklear.

Kedua-dua musuh lama itu menghampiri konfrontasi secara langsung sejak serangan udara Israel pada 1 April yang memusnahkan sebuah bangunan di pekarangan kedutaan Iran di Damsyik dan membunuh beberapa pegawai Iran termasuk seorang jeneral tertinggi.

Sejak itu, sekutu termasuk AS mendesak keras untuk memastikan sebarang tindakan balas selanjutnya akan ditentukur untuk tidak mencetuskan rentetan permusuhan.

Menteri Luar Britain dan Jerman melawat Baitulmaqdis minggu ini dan negara-negara Barat mengetatkan sekatan ke atas Iran untuk meredakan Israel.

Presiden Iran, Ebrahim Raisi memberi amaran kepada Israel sebelum serangan semalam bahawa Tehran akan memberikan 'tindak balas teruk' terhadap sebarang serangan ke atas wilayahnya.

Khamis lalu, Iran memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bahawa Israel 'mesti dipaksa menghentikan sebarang kemaraan tentera terhadap kepentingan mereka' kerana Setiausaha Agung PBB memberi amaran bahawa Asia Barat berada dalam 'keadaan bahaya maksimum'.

Berita Harian X